PUTRAJAYA - Mahkamah Rayuan hari ini menggantikan hukuman mati sepasang kekasih dengan penjara 30 tahun bagi kesalahan membunuh seorang kanak-kanak lelaki yang juga anak kepada tertuduh wanita, sembilan tahun lepas.
Panel tiga hakim terdiri daripada Datuk Vazeer Alam Mydin Meera, Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim dan Datuk S.M.Komathy Suppiah memerintahkan R. Saravanan Kumar, 33, dan T. Gayathry, 39, menjalani hukuman penjara itu dari tarikh mereka ditangkap.
"Hukuman gantung yang dikenakan Mahkamah Tinggi Georgetown diketepikan dan digantikan dengan hukuman penjara 30 tahun terhadap kedua-dua tertuduh bermula dari tarikh mereka ditangkap,” kata Vazeer Alam yang turut mengenakan 12 sebatan terhadap Saravanan.
Saravanan ditangkap pada 27 Sept 2014 manakala wanita itu ditahan pada 25 Sept tahun yang sama.
Terdahulu, peguam M. Visvanathan, mewakili Gayathry memberitahu mahkamah bahawa Jabatan Peguam Negara telah bersetuju dengan representasi yang dikemukakan pihaknya.
Perkara itu turut disahkan Timbalan Pendakwa Raya Fuad Aziz. Pada prosiding hari ini peguam N. Selvarani, mewakili Saravanan.
Pada 24 September 2020, Mahkamah Tinggi Georgetown menjatuhkan hukuman gantung terhadap mereka selepas didapati bersalah membunuh S. Kaviarasan yang ketika itu berumur lima tahun.
Pasangan kekasih itu didakwa di Mahkamah Sesyen Bukit Mertajam pada 13 Oktober 2014 atas tuduhan membunuh Kaviarasan di Taman Keladi, Kulim, Kedah antara jam 8 pagi pada 20 September dan 4 petang, 27 September 2014.
Mayat kanak-kanak itu yang dicampak di kawasan semak di ladang sawit berhampiran Permatang Tinggi, Bukit Tengah, Butterworth ditemukan oleh pihak polis pada 29 September 2014. - Bernama