PPH usaha selesai hutang negara: Guan Eng

Iklan
Lim Guan Eng -Foto Bernama

PUTRAJAYA - Menteri Kewangan, Lim Guan Eng akan mempengerusikan Pejabat Pengurusan Hutang (PPH) yang ditubuhkan bertujuan untuk mengatasi dan menyelesaikan masalah hutang, liabiliti kerajaan yang disembunyikan yang telah mencecah RM1 trilion sejak 2017.

Guan Eng dalam satu kenyataan memaklumkan, penubuhan PPH berkuat kuasa serta-merta dengan dianggotai sembilan individu lain dan pelantikan tersebut telah dipersetujui Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Iklan
Iklan

Menurutnya, PPH akan memantau penerbitan hutang dan mencadangkan penstrukturan oleh Kerajaan Persekutuan, badan berkanun dan Syarikat Tujuan Khas (SPV) secara holistik.

"PPH akan berkuat kuasa serta-merta bagi membolehkan strategi untuk mengurangkan hutang negara dapat dirangka dan pelan tindakan dilaksana.

Iklan

"Strategi dan pelan yang dirangka akan dibentangkan kepada Jawatankuasa Dasar Fiskal yang dipengerusikan oleh perdana menteri,” katanya.

Dalam kenyataan sama, Guan Eng turut memaklumkan, PPH akan dianggotai Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr Ismail Bakar; Ketua Setiausaha Perbendahaaran, Datuk Ahmad Badri Mohd Zahir; Ketua Setiausaha Kementerian Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Saiful Anuar Lebai Hussen dan Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus.

Iklan

Selain itu, ia turut dianggotai Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), Datuk Syed Zaid Albar; Pengerusi Kumpulan Permodalan Nasional Berhad, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz; Akauntan Negara Malaysia, Datuk Saat Esa; Pengerusi Eksekutif PricewaterhouseCoopers (PwC) Malaysia, Datuk Mohammad Faiz Azmi dan Penasihat Ekonomi Kepada Perdana Menteri, Dr Muhammad Abdul Khalid.

Guan Eng berkata, penubuhan PPH juga selaras dengan hasrat kerajaan untuk mengelakkan berlakunya bayaran khidmat hutang yang lebih tinggi dan tidak bertanggungjawab akibat kelemahan koordinasi dalam penerbitan pinjaman.

"PPH adalah di antara reformasi institusi yang akan memantapkan sistem kewangan dan fiskal kerajaan yang dilihat sebagai penting oleh syarikat penarafan kredit antarabangsa.

"PPH akan menjalankan langkah-langkah seperti menjadualkan terbitan bon dan pinjaman kerajaan, syarikat-syarikat milik kerajaan dan badan-badan berkanun secara teratur untuk memastikan kadar kupon dan faedah yang paling rendah.

"Ia juga akan menstruktur semula bon-bon dan pinjaman di mana kos pembiayaan dapat dikurangkan untuk menjimatkan peruntukan pembayaran balik hutang,” katanya.

Menurutnya, PPH akan merancang strategi-strategi untuk mengurangkan beban hutang kerajaan pada masa akan datang.

"PPH bertujuan untuk mengawal hutang kerajaan agar tidak terus hilang kawalan dan juga memastikan pinjaman hutang secara sesuka hati tanpa sebab munasabah tidak berulang lagi,” ujarnya.