GEG lumpuhkan perniagaan bumiputera, bunuh industri vape

Iklan
Pelaksanaan GEG secara perlahan akan membunuh industri vape tempatan. (Gambar kecil: Ridhwan)

SHAH ALAM - Pelaksanaan dasar generasi penamat (GEG) bakal membunuh industri vape tempatan yang kebanyakannya didominasi oleh golongan bumiputera.

Sehubungan itu, Setiausaha Agung Dewan Perniagaan Vape Malaysia (DPVM), Ridhwan Rosli menyifatkan, pembentangan Rang Undang-undang (RUU) Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 yang mencadangkan dasar berkenaan akan menjejaskan industri tanah air, sedangkan industri berkenaan menjadi antara sektor yang menyumbang kepada ekonomi negara.

Iklan
Iklan

"GEG adalah satu langkah terlalu drastik. Melarang penggunaan produk yang telah atau sedang digunakan dalam pasaran merupakan perkara yang amat sukar untuk dilaksanakan dan hanya akan menimbulkan permasalahan lain.

"Dalam situasi industri semasa, perlaksanaan GEG boleh membantutkan sebarang pembangunan yang telah dicapai oleh pengusaha yang selama ini bertungkus-lumus untuk memajukan industri tempatan,” katanya menerusi kenyataan pada Khamis.

Iklan

Dalam pada itu beliau menjelaskan, Malaysia mempunyai ribuan usahawan tempatan bumiputera dan tenaga kerja dalam industri vape berdasarkan dapatan kajian terbaharu DPVM sehingga penghujung tahun 2022.

Malah beliau yakin sekiranya dasar berkenaan dilaksanakan, ia secara perlahan akan membunuh industri vape tempatan, sekali gus mempengaruhi ekonomi negara dari segi kutipan cukai, tenaga kerja serta industri sampingan yang berkaitan dengannya.

Iklan

"Sekarang bukan waktu sesuai untuk melaksanakan usaha yang drastik seperti ini ekoran ketidakstabilan ekonomi.

"Hasrat negara untuk mengurangkan kelaziman merokok akan menemui jalan buntu kerana rokok masih boleh didapati, malah pada harga yang jauh lebih murah,” ujarnya.

Sementara itu Ridhwan memohon agar lebih banyak peluang diberikan kepada pengusaha untuk mengembangkan industri itu menerusi dorongan serta mengiktirafnya sebagai antara sektor yang menyumbang kepada ekonomi negara.

"Apa yang diperlukan industri ketika ini adalah kawal selia dan bukannya GEG. Kawal selia perlu membuat penetapan yang bersesuaian di setiap peringkat pembuatan, pengilangan, pembungkusan dan penjualan,” tegasnya.