KOTA KINABALU - Seramai 25 Ketua Penaja Bahagian Bersatu Sabah menerima watikah pelantikan dalam satu majlis di Putrajaya, semalam.
Watikah disampaikan oleh Perdana Menteri yang juga Pengerusi Bersatu Tun Dr Mahathir Mohamad, bersempena Majlis Iftar Bersatu peringkat Nasional.
Setiausaha Eksekutif Bersatu Sabah Datuk Armizan Mohd Ali dalam kenyataan di sini hari ini berkata watikah pelantikan itu dibuat selepas mendapat kelulusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) untuk penubuhan 25 bahagian Bersatu di Sabah yang diperoleh pada 3 Mei lepas.
Katanya surat kelulusan berkenaan telah disampaikan Menteri Dalam Negeri yang juga Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin kepada Ketua Penyelaras Bersatu Sabah Datuk Hajiji Noor pada 5 Mei lepas.
Susulan penerimaan watikah pelantikan itu, ketua penaja pimpinan bahagian akan bertanggungjawab untuk mengurus dan melengkapkan proses penubuhan bahagian, cawangan serta sayap Srikandi dan Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) di bahagian masing-masing, katanya.
Katanya ia juga membabitkan pembentukan struktur organisasi penaja dan menggerakkan proses pendaftaran serta penambahan ahli.
Berikut nama 25 ketua penaja pimpinan bahagian Bersatu di negeri ini terdiri Hajiji (Tuaran), Datuk Masidi Manjun (Ranau), Datuk Abdul Rahim Bakri (Kudat), Datuk Wetrom Bahanda (Kota Marudu), Datuk Japlin Akim (Kota Belud), Mohamed Razali Mohamed Razi (Sepanggar), Datuk Faisyal Yusof Hamdain Diego (Kota Kinabalu), Senator Datuk John Ambrose (Penampang) dan Datuk Seri Dr Arsit Sedi (Putatan).
Datuk Gulamhaidar Khan Bahadar (Papar), Datuk Mohd Arifin Mohd Arif (Kimanis), Datuk Isnin Aliasnih (Beaufort), Matbali Musah (Sipitang), Datuk Rubin Balang (Tenom), Azman Ruslan (Keningau), Senator Datuk Abdul Ghani Mohamed Yassin (Pensiangan), Datuk Awang Kadin Tang (Sandakan) dan Datuk Zakaria Mohd Edris (Libaran).
Khairul Firdaus Akbar Khan (Batu Sapi), Aksyah Nasrah (Kinabatangan), Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (Beluran), Mohd Daud Tampokong (Semporna), Abdul Hakim Gulam Hassan (Silam), Datuk Nizam Datuk Abu Bakar Titingan (Tawau) dan Abdul Karim Abdul Wahid (Kalabakan). - Bernama