Bas mengundur terlepas susur keluar, syarikat boleh disenarai hitam

Iklan
Pemilik bas ekspres yang didakwa mengundur di lebuh raya terima notis temu siasat di bawah Seksyen 114 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

MELAKA - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka telah mengenal pasti dan akan mengambil tindakan terhadap pemilik bas ekspres selepas tular video kenderaan itu dipandu secara mengundur sejauh satu kilometer.

Pengarahnya, Muhammad Firdaus Shariff berkata, berdasarkan video yang dirakamkan oleh penumpang bas terbabit, mendapati pemandu dipercayai bertindak demikian selepas didakwa terlepas susur keluar Simpang Ampat, Lebuh Raya Utara Selatan pada Selasa lalu.

Iklan
Iklan

Menurutnya, berdasarkan siasatan dan maklumat yang diperoleh oleh pegawai penyiasat, Unit Pengurusan Aduan dan Siasatan telah mengeluarkan satu notis temu siasat di bawah Seksyen 114 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

"Notis ini bagi mengenal pasti butir-butir pemandu sekali gus melengkapkan siasatan kes terbabit.

Iklan

"Kegagalan mematuhi notis ini akan dikenakan tindakan kompaun kepada pemilik syarikat," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Khamis.

Jelasnya, pihak terbabit juga berdepan tindakan senarai hitam sekiranya gagal membayar kompaun yang ditetapkan.

Iklan

"JPJ Melaka memandang serius perkara ini dan menasihatkan semua pemandu kenderaan persendirian, perkhidmatan awam dan perdagangan mematuhi peraturan jalan raya," katanya.

Baru-baru ini tular video berdurasi 43 saat menunjukkan beberapa penumpang dalam sebuah bas ekspres melahirkan kebimbangan dan mempersoalkan tindakan pemandu yang sanggup membahayakan mereka dengan mengundurkan kenderaan.

Bas tersebut dipercayai telah terlajak ke susur keluar Simpang Ampat, Alor Gajah lebih kurang satu kilometer sebelum mengundur ke belakang di lebuh raya dan masuk semula susur keluar.