IPOH - Apabila bercerita mengenai Lenggong, mukim di dalam daerah Hulu Perak itu masih menyimpan pelbagai rahsia khazanah alam yang pastinya masih banyak belum diterokai.
Hari ini, Lenggong terkenal di seantero dunia bukan sahaja dari segi keunikan alam semula jadinya tetapi juga menjadi tapak aktiviti manusia prasejarah berikutan penemuan rangka manusia tertua di Malaysia dikenali sebagai Orang Perak di Lembah Lenggong.
Tulang rangka Orang Perak berusia antara 10,000 hingga 11,000 tahun itu ditemui di dalam Gua Gunung Runtuh di Bukit Kepala Gajah pada 1991.
Banyak lagi kisah boleh digali di mukim Lenggong ini yang telah diwartakan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) sebagai salah satu daripada 953 Tapak Warisan Dunia pada 30 Jun 2012.
Tersenarai antara lokasi geopelancongan dunia, Lembah Lenggong turut menerima penarafan sebagai Geopark Kebangsaan pada 16 Disember 2021 sekali gus mengubah landskap sosioekonomi komuniti di mukim itu.
Menurut Pegawai Daerah Hulu Perak, Mohd Zairasyahli Shah Zakaria, tahun lalu sahaja, kehadiran pengunjung yang direkodkan Majlis Daerah Lenggong mencecah lebih 20,000 orang melibatkan pelancong dari dalam dan luar negara.
"Kita jangkakan berlaku peningkatan kehadiran pengunjung antara 30,000 ke 50,000 orang pada tahun mendatang terutama dengan adanya promosi Tahun Melawat Perak 2024.
"Jangkaan ini tidak mustahil memandangkan pola kunjungan pelancong yang sentiasa meningkat. Ditambah pula dengan usaha pelbagai pihak yang sentiasa memastikan produk pelancongan di sini sentiasa berkembang,” katanya kepada Sinar Harian, baru-baru ini.
Lenggong Geopark yang berkeluasan 2,068 kilometer persegi itu turut mencatatkan peninggalan kesan debu letusan gunung berapi Toba (supervolcano) yang berlaku 75,000 tahun lalu termasuklah penemuan batu Seuvite dari hentaman meteorit kira-kira 1.83 juta tahun lampau.
Selain itu, kawasan tersebut turut memiliki jaringan ekosistem gua yang banyak selain keindahan tasik dan sungai seperti Tasik Raban, Lata Kekabu, Telaga Biru termasuk biodiversiti hutan hujan tropika yang menakjubkan.
Tambah, Mohd Zairasyahli, di bawah pelan Perak Sejahtera 2030 yang dicetuskan Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad, pihaknya merancang untuk melestarikan industri pelancongan Lenggong ke arah sekuriti makanan.
Usaha itu katanya melibatkan aktiviti penternakan rusa di Kampung Luat, aktiviti akuakultur ikan air tawar di Tasik Raban serta ladang ternakan tenusu yang masih dalam peringkat rundingan.
"Turut dirancang ialah mewujudkan sebuah pusat penyelidikan supaya kajian ilmiah mendalam dapat dilakukan ke atas Tapak Warisan Dunia Lenggong sekali gus menyemarakkan sektor pelancongan pendidikan (edu-tourism),”jelas beliau.
Sementara itu, Jurupandu Lenggong Geopark (Geoguide), Norhashimah Zainal Abidin berkata, peranan Geoguide penting dalam membantu membangunkan geopelancongan di kawasan itu.
Katanya, tanggungjawab digalas itu ibarat ‘duta kecil’ yang menyampaikan maklumat fakta yang betul mengenai setiap hasil penemuan, nilai warisan dan ketamadunan yang ada di mukim Lenggong.