KOTA KINABALU - Orang ramai di Sabah dinasihat agar tidak melakukan pembelian panik kerana bekalan beras bersubsidi di negeri itu mencukupi dan akan masuk secara berperingkat di semua kedai serta pasar raya.
Pengarah Kawal Selia Padi Dan Beras Sabah, Ab Alim Multazam berkata, orang ramai tidak perlu risau dan digalakkan membeli beras mengikut keperluan masing-masing kerana bekalan sentiasa ada.
Bagaimanapun, beliau berkata, peniaga boleh mengehadkan setiap pembelian beras bersubsidi untuk sementara waktu sehingga semuanya berjalan lancar.
"(Hadkan) Pembelian dua kampit (bagi) setiap keluarga untuk kita mengelakkan gangguan bekalan... dari segi undang-undang, ia tidak menjadi masalah," katanya selepas meninjau harga dan bekalan beras bersubsidi di beberapa pasar raya di sini.
Baru-baru ini, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan mengumumkan subsidi sebanyak RM950 bagi satu tan beras putih import (BPI) kepada Sabah serta Sarawak bermula hari ini (Khamis(.
Mengulas lanjut, Ab Alim berkata, melalui pemberian subsidi itu, pelbagai jenis dan jenama beras yang diimport pada harga berbeza hanya boleh dijual kepada pengguna di kedua-dua negeri tidak melebihi RM31 bagi pek 10 kilogram.
Beliau berkata, keperluan beras bagi rakyat Sabah adalah sekitar 22,000 hingga 23,000 metrik tan setiap bulan.
"Oleh itu, Padiberas Nasional Berhad (Bernas) tidak boleh menghantar bekalan beras ke Sabah melebihi 25,000 tan metrik sebulan.
"Kesemua beras akan diedar oleh pemborong sedia ada yang berlesen dan tidak diberikan kepada pemborong baharu bagi mengelakkan banyak masalah termasuk ketirisan," katanya sambil menambah kerajaan negeri akan memantau setiap pembekalan beras bersubsidi itu melalui laporan yang diberikan oleh Bernas. - Bernama.