KENINGAU - Selepas empat hari hilang akibat dibawa arus, mangsa kedua membabitkan dua beradik yang dilaporkan lemas akhirnya ditemukan mayatnya dalam keadaan terapung di Sungai Pagalan, Kampung Lubuk Lintong, dekat sini, pada petang Khamis.
Mayat Arlina Jabar, 12, ditemukan pada jam 6.15 petang oleh penduduk kampung yang sedang menangkap ikan di sungai berkenaan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Keningau Sharudy Delamin berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang memasuki hari keempat berjaya menemui mangsa kedua.
"Operasi hari ini dimulakan seawal jam 6.30 pagi dengan radius pencarian sejauh tujuh kilometer dari lokasi mangsa dipercayai hilang dengan bantuan pelbagai agensi termasuk BBP Tenom bagi kawasan Kampung Jawa Sembiling pada jarak tiga kilometer.
"Akhirnya, pihak bomba menerima maklumat bahawa mayat mangsa ditemukan terapung oleh penduduk kampung yang sedang merambat di sungai berkenaan iaitu 13.55 kilometer dari lokasi mangsa dipercayai jatuh," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada malam Khamis.
Katanya lagi, mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
"Dengan penemuan kedua-dua mangsa berkenaan, operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 7.30 malam," katanya.
Pada Selasa lalu, mayat kakaknya Azila, 12, ditemukan di sungai yang sama ketika operasi SAR dilakukan pada hari kedua.
Dalam kejadian Isnin lalu, dua beradik tersebut sedang bermain di tebing sungai di Kampung Linkudou, namun Arlina dikatakan terjatuh ke dalam sungai.
Azila kemudian bertindak terjun ke sungai bagi menyelamatkan adiknya sebelum kedua-duanya dipercayai hilang akibat dibawa arus sungai berkenaan.