JOHOR BAHRU - Kerajaan diminta menaikkan bantuan tambahan kepada ibu dan bapa tunggal yang mempunyai anak tanggungan dalam Belanjawan 2024.
Sebelum ini bantuan tambahan RM500 kepada ibu tunggal diteruskan dan mereka juga layak menerima Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) maksimum RM3,000 dalam Belanjawan 2023 berbanding RM2,500 menerusi Belanjawan 2022.
Ibu tunggal kepada tiga cahaya mata, Cecelia Das, 41, berkata, kerajaan perlu menimbang untuk menambah jumlah bantuan sedia ada kerana kos sara hidup ketika ini tinggi disebabkan kenaikan harga barang.
Dia yang berasal dari Apin-apin, Keningau, Sabah dan kini menetap di Bandar Bistari Perdana, Pasir Gudang dekat sini berkata, perbelanjaan barang dapur ketika ini tidak sama seperti tahun lalu.
"Semua perbelanjaan naik mendadak. Peningkatan kos sara hidup sangat ketara di sini. Gaji saya sebagai pekerja kilang di Tampoi memang tidak cukup.
"Kami sekeluarga hidup seadanya. Rumah sewa saya sudah tiada bekalan air sebab dipotong hampir sejak Februari lalu.
"Kami hidup dengan mendapat bekalan air dari rumah jiran dan menadah air hujan.
"Saya harap Bajet 2024 akan mencari jalan meringankan beban kami dalam keadaan harga barang yang tinggi,” ujar ibu kepada tiga anak berusia 16, 18 dan 19 tahun ketika ditemui Sinar Harian pada Rabu.
Menurutnya, ibu tunggal terutama golongan B40 perlu juga diberikan Insentif Bantuan Khas Ibu Tunggal secara sekali bayar (one-off) atau bakul makanan bagi meringankan beban dalam belanjawan tersebut.
Bagi Siti Rahayu Saidon, 34, dari Kampung Seri Bahagia, Plentong di sini pula mencadangkan satu program keusahawanan perlu diwujudkan dalam Belanjawan 2024 bagi meringankan bebanan golongan ibu tunggal sekali gus dapat keluar daripada kepompong kemiskinan.
Dia yang menumpang di rumah ibu bapanya berkata, golongan tersebut masih kekurangan ilmu pengetahuan, kemahiran, rangkaian sosial dan internet, sumber kewangan serta konflik dalam tanggungjawab antara kerja serta keluarga.
Ibu tunggal kepada tiga anak itu berkata, program seperti itu amat membantu sekali gus menyediakan peluang untuk golongan tersebut berdikari.
"Namun ketika ini saya tidak dapat bekerja kerana perlu menjaga anak sulung yang lumpuh separuh badan sejak kecil manakala anak bongsu pula baru menjalani pembedahan bagi menebuk lubang dubur pada Julai lalu dan masih menggunakan beg stoma,” ujarnya.
Sementara itu, Norizan Marsandi, 46, dari Taman Waja, Segamat pula berharap satu dana khas untuk kesihatan diperuntukkan dalam bajet tahun depan terutama untuk ibu tunggal atau golongan B40 yang memerlukan.
Dia yang merupakan ibu kepada enam cahaya mata berkata, dana tersebut amat diperlukan terutama anak kelimanya yang berusia 14 tahun menghidap penyakit jantung berlubang dan perlu melakukan pembedahan di Institut Jantung Negara (IJN).