SKUAD takraw negara memulakan kempen mempertahankan pingat emas Sukan Asia dengan penampilan garang apabila mengesahkan kemaraan ke separuh akhir acara antara regu Hangzhou 2022 dengan status juara Kumpulan A selepas menang kedua-dua perlawanan di Gimnasium Pusat Sukan Jinhua pada Khamis.
Rentak positif itu menyaksikan regu asuhan Ahmad Jais Baharun di landasan terbaik menghadirkan pingat buat kontinjen negara selepas meraih perak dalam acara regu berpasukan sebelum ini.
Bagaimanapun dalam perlawanan pertama menentang Vietnam dalam aksi 65 minit, regu negara Muhammad Afifuddin Mohd Razali, Amirul Zazwan Amir dan Muhammad Zarif Marican bermula tempang apabila tewas set pertama 17-21.
Namun trio negara kembali tampil persembahan luar biasa pada set kedua untuk menjinakkan gandingan Dau Van Hoang, Vuong Minh Chau dan Nguyen Hoang Lan, 21-9 sebelum melabuh tirai dengan kemenangan, 21-11 pada set ketiga.
Perlawanan kedua berdepan Singapura, Ahmad Jais melakukan perubahan taktikal apabila menggantikan Muhammad Afifuddin Mohd Razali dengan Mohamad Azlan Alias.
Hasil percaturan itu menyaksikan set pertama regu negara tidak berdepan masalah mengatasi cabaran Muhammad A'fif Safiee, Muhammad Ramli Saari dan Asy Syariq Mohamad Khalid, 21-10 diikuti kemenangan 21-6 di set kedua.
Dalam pada itu Ahmad Jais mengakui para pemainnya mempamerkan peningkatan dalam perlawanan kedua peringkat kumpulan berbanding perlawanan pertama.
"Cumanya dari segi kemantapan dalam kalangan pemain-pemain kita masih terdapat beberapa kelemahan yang perlu diberikan perhatian.
"Khususnya dari segi serangan tekong, kawalan bola, rejaman dan beberapa elemen lagi yang perlu diperkemaskan dari semasa ke semasa sebagai persiapan menentang naib juara Kumpulan B bagi saingan separuh akhir.
"Kita akan melihat dari segi tontonan video malam ini (Khamis) untuk analisis prestasi keseluruhan pasukan, selain analisis pasukan yang dijangka berdepan Malaysia di separuh akhir pada esok (Jumaat) petang,” katanya kepada Sukan Sinar.
Edisi Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018 sebelum ini menyaksikan regu negara dibarisi Muhammad Zulkifli Abd Razak (tekong), Farhan Adam (pegumpan) dan Mohamad Azlan Alias (perejam) mengakhiri kemarau emas 24 tahun selepas menjinakkan Indonesia 2-1, dalam perlawanan akhir.
Sebagai rekod, regu negara sebelum ini memenangi pingat emas acara itu dua kali - Sukan Asia Beijing 1990, China dan edisi Hiroshima 1994, Jepun.