PWS galakkan amalan berwakaf

Iklan
Projek ladang nenas di atas tanah wakaf seluas lapan ekar bertaraf agropelancongan di Sungai Merab, Sepang.

Laksanakan amanah untuk membangunkan sosio ekonomi umat Islam

Projek ladang nenas di atas tanah wakaf seluas lapan ekar bertaraf agropelancongan di Sungai Merab, Sepang.

SHAH ALAM - Perbadanan Wakaf Selangor(PWS) yang ditubuhkan sejak awal tahun 2011 telah banyak memainkan peranan membudayakan amalan berwakaf secara sistematik menerusi kepelbagaian produk wakaf.

Iklan
Iklan

Sebagai sebuah agensi di bawah Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), PWS bertanggungjawab menggalak,mendorong, membantu,mengusahakan dan memajukan harta dan produk wakaf selaras dengan hukum syarak.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PWS yang kini sedang menanggung tugas Ketua Pegawai Eksekutif, Anuar Hamzah Tohar berkata, wakaf ditakrifkan sebagai harta yang diwakafkan bertujuan untuk mendekatkan diri kepada ALLAH SWT.

Iklan

ANUAR

Katanya, wakaf sifatnya lebih kepada harta alih atau harta tidak alih yang mana tujuan diserahkan untuk jariah umat Islam.

Iklan

Dalam sesi temubual khas bersama Sinar Harian pada Jumaat, Anuar turut memaklumkan PWS ditubuhkan di atas titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor bertujuan untuk memperkasakan pengurusan wakaf seperti mana pengurusan zakat.

"Oleh itu, PWS memainkan peranan memastikan pengurusan wakaf di Selangor ini dapat diurus dan diselaraskan dengan sempurna supaya ia memenuhi niat para pewakaf,”katanya.

Pada masa sama, Anuar tidak menafi kan masih ada pihak yang keliru dengan perbezaan di antara ibadah zakat dengan wakaf.

Mengulas perbezaan tersebut, beliau menyatakan wakaf ialah amalan menyerahkan harta yang dimiliki untuk kegunaan atau manfaat orang ramai dan hukumnya adalah sunat manakala zakat pula ialah mengeluarkan harta tertentu, kadar yang tertentu serta syarat-syarat yang tertentu untuk diagihkan kepada lapan golongan asnaf dan hukumnya adalah wajib.

"Nabi Muhammad SAW berwakaf dan baginda melaksanakan ibadah itu. Begitu juga dengan para sahabat,”jelasnya lagi.

Di Selangor tegas Anuar, mana-mana pihak yang berhasrat untuk membuat aktiviti wakaf seperti mengutip wakaf perlu mendapatkan kebenaran daripada PWS supaya ia dapat dilaksanakan dengan betul dan selari dengan yang diniatkan oleh para pewakaf.

Jenis-jenis wakaf

Mengenai jenis-jenis wakaf, Anuar menjelaskan terdapat Wakaf Khas, Wakaf Tunai dan Wakaf Korporat.

Wakaf Tunai katanya melibatkan wang tunai yang diwakafkan untuk manfaat umum dan 30 peratus daripadanya boleh disalurkan semula dalam bentuk fisabilillah manakala 70 peratus lagi untuk pelaburan hartanah.

Sementara itu, Wakaf Khas ialah serahan wang wakaf yang diniatkan oleh pewakaf untuk tujuan khas seperti pembinaan masjid, surau, madrasah, sekolah dan sebagainya.

Wakaf Korporat pula menurut beliau ialah wakaf daripada syarikat-syarikat korporat termasuk syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang biasanya dikenali sebagai tanggungjawab sosial korporat (CSR).

"Sebahagian daripada CSR itu boleh diwakafkan. Tidak perlu banyak, mungkin satu peratus sahaja,” jelasnya selain memaklumkan syarikat-syarikat korporat termasuk GLC boleh melaksanakan wakaf melalui lebihan bayaran zakat.

Sebagai contoh kata Anuar, sekiranya sebuah syarikat korporat itu menunaikan zakat keuntungan RM1 juta, jika ia sudah melebihi had wajib zakat 2.5 peratus maka lebihan zakat tersebut boleh disalurkan sebagai wakaf selain layak mendapat potongan 10 peratus cukai pendapatan agregat syarikat.

Kutipan dan agihan

Berkenaan kutipan wakaf, Anuar memberitahu sebanyak RM65 juta berjaya dikutip pada tahun 2022 hasil daripada komitmen berterusan PWS menggalakkan amalan wakaf di Selangor.

Antara hasil tuaian rock melon dari ladang di atas tanah wakaf di Meru, Klang.

Jumlah kutipan katanya, dijangka meningkat pada tahun 2023 dengan sasaran lebih daripada kutipan pada tahun sebelumnya.

"Setiap tahun PWS mesti agihkan lebih 50 peratus daripada jumlah kutipan wakaf. Pada tahun ini PWS telah menyalurkan sumbangan fi sabilillah sebanyak RM1.2 juta,” katanya.

Sementara itu, sebanyak RM20 juta telah diagihkan oleh PWS bagi pelaksanaan projek-projek khas dalam bentuk aset pembangunan sosial seperti perpustakaan, surau, maahad tahfiz dan sekolah.

Menurut Anuar, aset pembangunan sosial itu memberi manfaat besar secara kekal kepada umat Islam selari dengan niat para pewakaf.

Mengambil contoh Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di Shah Alam, beliau memaklumkan bahawa pembangunan kemudahan di masjid itu seperti perpustakaan, eskalator, studio rakaman dan van jenazah adalah melalui tabung wakaf tunai.

Selain itu katanya, PWS melalui Wakaf Selangor Muamalat turut menyumbang wakaf tiga buah lori klinik bergerak kepada KPJ Healthcare Berhad termasuk dua buah bas klinik bergerak masing-masing untuk kegunaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Universiti Malaya (UM) bagi memudahkan pemeriksaan kesihatan komuniti di luar bandar serta warga universiti itu.

Pelaksanaan dan perancangan

Sebagai sebuah institusi wakaf di Selangor, PWS berusaha membangunkan dan memanfaatkan tanah-tanah wakaf semaksimum mungkin untuk pembangunan ummah di negeri ini meliputi pendidikan, ekonomi dan sosial selari dengan niat yang ditetapkan oleh para pewakaf menerusi pelaksanaan projek-projek berpotensi dan berimpak tinggi.

Antara projek tersebut menurut Anuar ialah memberi peluang kepada pengusaha-pengusaha untuk mewujudkan dua ladang pertanian bertaraf agro pelancongan iaitu di Kampung Sungai Merab, Sepang untuk penanaman nenas di atas tanah wakaf seluas 6.3 ekar (2.5 hektar) serta di Meru, Klang untuk penanaman rock melon di atas tanah seluas 3.6 ekar (1.5 hektar).

Kedua-dua tanah wakaf tersebut katanya telah disewakan kepada dua usahawan berpengalaman untuk diuruskan manakala hasil perolehan yang diterima akan disalurkan kepada masjid, sekolah, maahad dan lain-lain mengikut niat pewakaf.

Meneruskan matlamat tersebut, PWS jelas beliau turut merancang membina Maahad Tahfiz Integrasi Sains Selangor di atas tanah seluas 9.9 ekar (4 hektar) dengan anggaran kos RM45 juta.

Pada masa sama, perancangan PWS itu turut melibatkan pembinaan sebuah stesen minyak di Jalan ILIM, Bangi yang lengkap dengan restoran makanan segera dan dijangka akan beroperasi pada 2025.

Semarak pembangunan Islam

Bagi menyemarakkan lagi pembangunan Islam khususnya di Selangor, PWS menyeru supaya lebih ramai umat Islam dapat bersama-sama melaksanakan ibadah wakaf dengan menginfakkan sekurang-kurangnya RM1 pendapatan mereka melalui perbadanan itu secara potongan gaji.

Selain mencari keredhaan ALLAH SWT, berwakaf kini lebih mudah dan cepat hanya di hujung jari melalui Wakaf Selangor Online (FPX) di laman web rasmi PWS, akaun Maybank Islamic 562106624154, CIMB Islamic 8600832138 dan Bank Islam 12038010108106.

Bagi para pewakaf yang ingin mewakafkan harta, rumah, tanah dan sebagainya, mereka boleh menghubungi PWS bagi memastikan niat mereka dilaksanakan dengan sebaik-baiknya.

"Amat penting bagi umat Islam memahami saluran menunaikan ibadah wakaf dengan betul supaya niat mereka dapat disempurnakan dengan baik selain mengelakkan daripada kerugian.

"Kita tidak nafi kan ada pihak tertentu yang mengaku mempunyai tauliah untuk menguruskan harta wakaf, namun hakikatnya mereka tidak,” tegas Anuar.

Untuk maklumat lanjut mengenai pelaksanaan ibadah wakaf melalui PWS, boleh melayari laman sesawang, www. wakafselangor.gov.my atau menerusi media sosial Facebook, PWSMais atau melalui aplikasi TikTok, #wakafselangor dan Instagram, @wakafselangor.