SUNGAI PETANI - Lima warga asing yang bekerja di pasar malam Taman Ria Jaya di sini ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kedah pada jam 6 petang Selasa.
Pengarah JIM Negeri Kedah, Mohd Ridzzuan Mohd Zain berkata, penahanan dibuat selepas mengenal pasti gerai jualan yang disyaki terlibat menggaji pekerja warga asing terbabit.
Menurutnya, semasa serbuan dijalankan dalam Ops Jaja hasil aduan awam itu, seramai enam warga asing berusia antara 15 tahun hingga 45 tahun diperiksa .
"Seorang lelaki warganegara Myanmar yang memiliki kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) masih sah dibebaskan.
"Seramai empat lelaki warganegara Myanmar dan seorang lelaki warganegara India dipercayai melanggar peruntukan bawah Akta Imigresen 1959/63," katanya.
Jelasnya, kesemua warga asing yang ditahan dibawa balik ke Bahagian Penguatkuasa, Pejabat Imigresen Alor Setar, seterusnya ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Belantik, Sik, Kedah untuk siasatan dan tindakan lanjut.
Beliau berkata, pihaknya sentiasa prihatin dengan aduan dan maklumat yang diberikan orang awam serta tidak akan berkompromi sama sekali terhadap warga asing yang tinggal secara haram, menyalahgunakan pas serta melakukan aktiviti tidak bermoral di negara ini.
"Tindakan tegas juga akan diambil terhadap mana-mana pihak yang menggaji atau melindungi pendatang asing tanpa izin,” katanya.
Sebelum ini, video dimuat naik pengguna media sosial memaparkan kegiatan warga asing yang didakwa berniaga di pasar malam berkenaan mendapat perhatian ramai.