PUTRAJAYA - Inisiatif bantuan subsidi pembelian tiket penerbangan untuk pelajar universiti awam bagi laluan domestik antara Semenanjung, Sabah, Sarawak dan Labuan diperluas kepada pelajar politeknik dan kolej komuniti di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) serta pelajar matrikulasi dan institut pendidikan guru (IPG) di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bermula pada hari ini.
Kementerian Pengangkutan (MOT) menerusi kenyataan memaklumkan, para pelajar yang terlibat boleh membuat semakan kelayakan melalui laman sesawang https://subsidiudara.mot.gov.my/.
"Setelah membuat semakan, pelajar yang layak boleh membuat permohonan bantuan subsidi pembelian tiket penerbangan daripada mana-mana satu syarikat penerbangan seperti Malaysia Airlines (termasuk MASwings dan FireFly), AirAsia, Batik Air dan MYAirline yang dipilih," kata kementerian itu.
Ujar MOT, setelah menerima permohonan tersebut, syarikat penerbangan akan mengeluarkan baucar digital bernilai RM300 kepada pelajar sebagai credit shell untuk membeli tiket penerbangan.
"Sekiranya harga tiket yang dibeli adalah kurang daripada RM300, baki baucar digital akan kekal dalam credit shell dan boleh digunakan untuk pembelian tiket seterusnya," katanya.
Menurut kementerian itu, tarikh akhir penebusan baucar untuk pembelian tiket penerbangan adalah pada 31 Disember depan namun pembelian tiket penerbangan untuk perjalanan selepas tarikh akhir penebusan adalah dibenarkan.
"Sekiranya semakan mendapati pelajar tidak layak, mereka boleh membuat semakan dan rayuan kepada KPT, KPM atau institusi pendidikan masing-masing.
"Buat masa ini, pelajar yang layak hanyalah pelajar yang berdaftar di politeknik, kolej komuniti, matrikulasi dan institut pendidikan guru sehingga sesi akademik 2022/2023 serta belum menamatkan pengajian selepas sesi akademik tersebut," ujarnya.
Pada Julai lalu, kerajaan mengumumkan inisiatif bantuan tersebut melibatkan pelajar universiti.