KEMELUT pemain sayap Manchester United, Jadon Sancho dengan pengurusnya, Erik ten Hag dilihat masih belum ada jalan penyelesaian.
Enggan isu tersebut berlarutan lebih lama, Sancho mahu ia dileraikan dengan baik apabila pemain berusia 23 tahun itu dilaporkan mengintai peluang untuk kembali ke Borussia Dortmund, Januari depan.
Sancho telah diketepikan daripada skuad utama The Red Devils kerana berlaku salah faham setelah mengkritik bosnya secara terbuka.
Justeru Sancho berharap untuk melengkapkan perpindahan kembali ke Dortmund setelah dia menghabiskan empat tahun di Jerman sebelum menyertai United pada 2021.
Laporan itu turut mendakwa bahawa beberapa kelab Jerman menunjukkan minat, tetapi Sancho mengutamakan untuk pulang ke pangkuan Dortmund bersaing dalam kancah Bundesliga.
Dortmund juga dilihat membuka pintu buat Sancho dan kemungkinan perjanjian boleh dicapai sebelum jendela perpindahan Januari jika situasi pemain itu di Old Trafford belum pulih.
Ketika bersama kelab Jerman itu, Sancho meledak 50 gol dan membuat 64 bantuan dalam 137 penampilan di semua pertandingan.
Ten Hag telah mengetepikan Sancho daripada pasukan sejak kekalahan kepada Arsenal awal bulan lalu atas persembahan yang kurang memberangsangkan dalam sesi latihan.
Sancho kemudian membalas menerusi media sosial menyatakan dirinya sentiasa menjadi 'kambing hitam' untuk tempoh yang agak lama di Old Trafford.
Walaupun Sancho telah memadamnya, namun dia didakwa enggan memohon maaf kepada Ten Hag.
Susulan insiden tersebut, pemain kebangsaan England itu tidak dibenarkan berada di fasiliti pasukan utama di Carrington.
Ten Hag turut tidak berminat untuk mengalah atas situasi ini, manakala Sancho kekal enggan memberikan permohonan maaf walaupun telah digesa rakan sepasukan.