TAMPIN - Seorang peniaga buah didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret di sini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan melakukan pencerobohan jenayah, pada Khamis.
Tertuduh, Muhammad Aliff Wahab, 36, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Kartini Kasran.
Mahkamah turut menetapkan tertuduh dipenjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.
Berdasarkan pertuduhan, tertuduh pada 5 Oktober 2023, jam 11.15 pagi di kebun buah-buahan milik seorang individu telah melakukan pencerobohan jenayah dengan memasuki premis tersebut tanpa kebenaran.
Oleh demikian tertuduh telah melakukan kesalahan mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga enam bulan atau dengan denda hingga RM3,000 atau kedua-duanya sekali.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Amirul Noor Hashimi, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mengikut fakta kes, seorang pemilik kebun membuat laporan polis selepas kebunnya di Gemencheh, Tampin diceroboh seorang lelaki tidak dikenali.
Lelaki berkenaan mendakwa ingin membeli buah di kebun tersebut, namun pengadu berasa tidak senang dengan kehadiran lelaki berkenaan kerana masuk ke kebunnya tanpa kebenaran.
Sebaik menyedari perbuatannya dirakam pengadu, lelaki berkenaan bertindak melarikan diri menaiki motosikal.