Pelancong lemas ketika snorkeling tak pakai jaket keselamatan

Iklan
Seorang pelancong asing yang melakukan aktiviti snorkeling ditemukan lemas dalam kejadian di perairan sebuah resort di Pulau Bum-Bum pada Jumaat.

SEMPORNA - Pelancong warga China yang dilaporkan lemas di perairan sebuah resort di Pulau Bum-Bum, dekat sini, didapati tidak memakai jaket keselamatan ketika melakukan aktiviti snorkeling.

Ketua Polis Daerah Semporna, Superintenden Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kehilangan mangsa pada jam 8.23 malam Khamis.

Iklan
Iklan

"Sebelum kejadian pada jam 4.30 petang, mangsa dan rakannya telah melakukan aktiviti snorkeling tanpa memakai jaket keselamatan kerana beranggapan mereka pandai berenang dan hanya di hadapan resort iaitu kira-kira 10 hingga 15 meter dari jeti resort.

"Pada jam 5.15 petang, rakan mangsa telah naik semula ke jeti kerana tidak melihat mangsa sebelum bertemu dengan pengurus resort untuk bertanyakan mangsa," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Iklan

Katanya lagi, susulan aduan tersebut, pemeriksaan telah dibuat di bilik mangsa dan sekitar resort namun mangsa masih tidak ditemui.

"Kali terakhir pengurus resort melihat mangsa ketika mereka berdua melakukan aktiviti snorkeling.

Iklan

"Hasil siasatan awal mendapati ketika kejadian air laut dalam keadaan pasang dan kedalaman air melepasi kepala iaitu kira-kira tiga meter.

"Semakan pada rakaman video litar tertutup (CCTV) resort juga tidak berfungsi sebelum pasukan mencari dan menyelamat (SAR) melakukan operasi dan menemui mangsa terapung kira-kira 30 meter dari jeti resort pada hari ini," katanya.

Mohd Farhan berkata, mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Semporna untuk tujuan bedah siasat bagi mengetahui punca kematian.

Dalam pada itu, Mohd Farhan turut menasihatkan pengusaha resort supaya mewajibkan pelanggan mereka memakai jaket keselamatan ketika melakukan aktiviti di laut dan membuat pemantauan dengan lebih kerap selain memastikan CCTV sentiasa berfungsi dengan baik.

Sebelum itu, Sinar Harian melaporkan mayat lelaki warga China, Lin Jun Yong, 25, ditemukan terapung selepas melakukan aktiviti snorkeling di perairan resort berkenaan.