JAS sahkan Sungai Sembilang tercemar teruk

Iklan
Nor Aziah (kiri) bersama Harrison (dua dari kanan) memantau keadaan pencemaran di muara Sungai Sembilang pada Jumaat.

KUALA SELANGOR - Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor mengesahkan standard kualiti air di muara Sungai Sembilang tercemar teruk dan berada pada Kelas Lima.

Pengarahnya, Nor Aziah Jaafar berkata, berdasarkan pemantauan terdapat peningkatan kekeruhan dan parameter ammonia serta paras oksigen terlarut.

Iklan
Iklan

Menurutnya, keadaan itu menyebabkan sedimen terperangkap terlalu lama di dalam dasar sungai berkenaan.

"Ini menyebabkan tidak ada faktor pencairan yang boleh dilihat di sebahagian kawasan muara sungai dan keadaan air tenang kerana tiada pengaliran dan menjadi punca pencemaran yang dihasilkan itu terkumpul," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas melakukan tinjauan di muara Sungai Sembilang di sini, pada Jumaat.

Nor Aziah berkata, bagi menangani pencemaran itu, penglibatan semua pihak perlu diaktifkan selain ia memerlukan kos bagi proses pemulihan.

Iklan

"Kita memerlukan masa (membuat rawatan) dan ia bukan dalam masa sehari untuk diselesaikan, namun percaya jika ada usaha berterusan ia dapat ditangani," ujarnya.

Beliau memberitahu, hasil pemeriksaan di syarikat pengurusan tapak pelupusan sampah Jeram, Worldwide Landfills Sdn Bhd mendapati, syarikat itu tidak melakukan kesalahan dan mempunyai sistem rawatan serta pelan tindakan mencegah pencemaran.

Bagaimanapun katanya, pihaknya mengenal pasti terdapat beberapa kilang berasaskan getah dan makanan di sepanjang lingkungan lapan kilometer (km) dari muara sungai tersebut.

"Pemeriksaan kita juga tertumpu kepada kilang-kilang tersebut. Penguatkuasaan memang sentiasa dilaksanakan dari semasa ke semasa selain kilang tersebut juga mempunyai sistem rawatan mengikut standard JAS," jelas beliau.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram, Datuk Harrison Hassan berkata, beliau bersama JAS, Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dan Worldwide Landfills telah turun sendiri melawat ke muara Sungai Sembilang yang didakwa tercemar.

Ujarnya, masalah membelenggu nelayan dan penduduk di kawasan itu bukanlah perkara baharu, sebaliknya ia telah tercemar sejak lebih lima tahun lalu.

"Saya mengambil ketetapan hendak melihat satu perubahan dan bekerjasama dengan semua agensi terlibat supaya akhirnya pencemaran yang berlaku di sepanjang sungai ini dapat dikurangkan.

"Kita mahu perkara ini ditangani segera kerana yang terkesan adalah rakyat dan komuniti nelayan di sini hingga menjejaskan punca pendapatan penduduk," ujar beliau.

Tambah Harrison, terdapat beberapa langkah awal telah dilaksanakan antaranya membersih dan memulihara sungai itu secara berkala.

"Kita juga sedang mengenal pasti daripada Worldwide Landfills di Jeram sehingga ke muara jeti itu sejauh lapan km apa lagi yang boleh menyebabkan pencemaran berlaku.

"Saya difahamkan laluan air ke muara ini melalui (ladang) kelapa sawit, kilang, perumahan dan tanaman penduduk dan ia mungkin menjadi penyumbang kepada pencemaran itu," kata beliau.

Sementara itu, Worldwide Landfills menjelaskan kewujudan penempatan pekerja bersebelahan kawasan tersebut yang dikaitkan kemungkinan pencemaran di Sungai Sembilang tidak melibatkan kakitangannya.

Ketua Operasi Pusat Pelupusannya, Nor Haszma Mohd Hashim berkata, penempatan kira-kira 100 pekerja itu melibatkan syarikat sub kontraktor yang baru memasuki tapak tersebut pada April lalu.

"Kami akan mengarahkan pemindahan penempatan pekerja untuk duduk di luar, bukan dalam kawasan pengawasan Worldwide, sekurang-kurangnya dapat mengurangkan punca kepada pencemaran sungai yang dimaksudkan.

"Kami akan ambil tindakan sepenuhnya untuk memindahkan kesemua pekerja di penempatan yang dipercayai menyebabkan pencemaran," jelas beliau.