KOTA BHARU - Seorang buruh binaan ditahan di sebuan rumah di Jalan Hamzah di sini hari ini kerana dipercayai memiliki 5.4 gram dadah jenis syabu.
Lelaki berusia 27 tahun terbabit ditahan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu pada jam 3 pagi.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud berkata, bertindak atas maklumat, polis menyerbu sebuah rumah tanpa nombor di Jalan Hamzah di sini.
"Pihak polis melakukan intipan dan masuk ke dalam rumah melalui pintu belakang yang tidak tertutup seterusnya menahan suspek yang sedang duduk di atas lantai di bahagian tamu rumah.
"Hasil pemeriksaan ke atas tubuh badan suspek didapati terdapat satu beg bertali warna coklat yang disilang di badannya. Kandungan di dalam beg diperiksa dan polis menemui kotak rokok.
"Pemeriksaan lanjut di dalam kotak rokok tersebut mengandungi tiga peket plastik lutsinar, setiap peket plastik berisi ketulan-ketulan kecil kristal disyaki dadah jenis syabu,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.
Beliau berkata, suspek ditahan dan barang kes dirampas untuk siasatan selanjutnya.
"Semakan mendapati suspek memiliki dua rekod lampau pernah berkait dadah mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.
"Keputusan ujian urin suspek juga menunjukkan positif dadah jenis methamphetamine.
"Sehubungan itu suspek direman lima hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.