KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) menerusi Majlis Sukan Negara (MSN) akan mengambil usaha untuk memperkasakan lagi prestasi pemenang pingat di Sukan Asia Hangzhou, selepas Kontinjen Malaysia berjaya melepasi sasaran 27 pingat, semalam.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh yang mengucapkan tahniah kepada kontinjen negara berkata, pihaknya akan melakukan kajian teliti terhadap kesemua prestasi atlet yang beraksi di Sukan Asia kali ini, bagi mengenal pasti kaedah untuk membantu meningkatkan pencapaian mereka secara berterusan.
"Antaranya adalah pemerkasaan dari segi sokongan, termasuk kewangan untuk memastikan pencapaian yang lebih konsisten. Bukan hanya menang sekali kemudian gagal, tetapi mahu mereka terus meningkat dan cemerlang, seperti dari gangsa ke perak, perak ke emas, manakala emas dipertahankan.
"Prestasi Sukan Asia ini akan dikaji bersama Universiti Sains Sukan Nippon, Jepun yang kita ada memeterai memorandum persefahaman (MoU). Seperti Sukan SEA Kemboja Mei lepas, saya akan jumpa dahulu dengan atlet untuk dengar apa masalah yang dihadapi bagi penambahbaikan,” katanya kepada pemberita di sini, malam Khamis.
Terdahulu, beliau berjumpa dengan skuad skuasy negara yang beraksi cemerlang untuk menutup cabaran mereka dengan keseluruhan tiga emas dan masing-masing satu perak dan satu gangsa.
Hannah berkata prestasi atlet yang berpotensi untuk beraksi di Sukan Olimpik Paris 2024, akan diteliti untuk disenaraikan dalam program 'Road To Gold' (RTG), selain latihan di luar negara untuk sukan yang tiada dalam program Olimpik.Semalam, kontinjen Malaysia berjaya merangkul dua emas, dua perak dan satu gangsa, untuk mengumpul sebanyak lima emas, enam perak dan 17 gangsa dengan keseluruhan 28 pingat.
Sementara itu, Ketua Kontinjen (CDM) Malaysia ke Sukan Asiac, Datuk Chong Kim Fatt yakin atlet negara berpotensi untuk meningkatkan lagi kilauan pingat sebelum saingan menutup tirai, Ahad ini.
"Sangat gembira sasaran dan impian semua pihak tercapai, tahniah dan syabas kepada semua pihak. Ini adalah usaha bersama semua pihak seperti atlet, persatuan sukan, MSN, Institut Sukan Negara dan Majlis Olimpik Malaysia.
"Semangat atlet masih membara, kita akan berjuang sehingga hari terakhir dalam usaha memburu lebih banyak pingat untuk negara,” katanya.
Cabaran negara di Sukan Asia diteruskan dalam ekuestrian, badminton, jiu-jutsu, sepak takraw, gimrama dan karate. - Bernama