TAWAU - Polis menahan sepasang suami isteri warga Indonesia berusia 21 dan 22 tahun bersama dadah jenis syabu seberat 4.09 kilogram bernilai RM240,000 di kawasan Jeti CIQ lama di sini, Rabu lepas.
Ketua Polis Daerah Tawau, Assisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, pasangan yang bekerja di sebuah ladang sawit di Lahad Datu itu ditahan pada jam 8.50 pagi ketika sedang menunggu bot dengan membawa sebuah tong.
Iklan
Iklan
"Ketika ditahan, didapati suspek ini tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri dan dipercayai mahu pulang ke negara asal melalui jalan tidak diwartakan. Pemeriksaan lanjut pada tong itu menemukan beberapa helai pakaian serta sebuah kotak.
"Kotak ini juga didapati berisi empat bungkusan plastik bertulisan Guanyinwang dengan tiga daripadanya plastik bewarna hijau dan satu plastik emas, kesemua bungkusan itu dipercayai syabu dan untuk pasaran negara jiran," katanya kepada pemberita di sini pada Jumaat.
Menurut Jasmin, pasangan suami isteri itu tidak memiliki sebarang rekod jenayah serta negatif dadah dan kini ditahan reman selama tujuh hari sehingga 12 Oktober bagi membantu siasatan dibawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
Katanya, pihak polis kini berusaha mengesan rangkaian pengedaran dadah terbabit bagi siasatan lanjut dan orang ramai dialu-alukan untuk memberi maklumat dalam membanteras jenayah dadah. - Bernama