KUALA LUMPUR - Hanya tujuh juta daripada 45 juta akaun pengguna telefon mudah alih di Malaysia memiliki peranti yang menyokong 5G, kata Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil.
Beliau berkata, hal ini menghalang mereka daripada menggunakan dan menikmati rangkaian 5G, walaupun kemudahan itu sudah terdapat di kawasan mereka.
"Jadi, kerana itulah program seperti 5G Rahmah akan sangat membantu, terutamanya untuk B40 membeli, mendapatkan peranti 5G supaya mereka boleh menggunakan 5G,” katanya selepas menghadiri perasmian Rangkaian Persendirian 5G komersial pertama Petronas, disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof di sini pada Jumaat.
Pakej 5G yang dilancarkan Fahmi Ogos lepas, ditawarkan kepada semua rakyat Malaysia, bermula 31 Ogos hingga Disember ini. Pakej tersebut menawarkan pelan data melibatkan telefon mudah alih pada harga tidak melebihi RM240 berserta pelan pascabayar serendah RM60 data sebulan dengan data minimum 60 gigabit (GB).
Selari dengan Kerangka Ekonomi Madani, Fahmi turut mengumumkan Pakej 5G Rahmah yang ditawarkan kepada 100,000 pelanggan pertama daripada kumpulan B40, yang turut layak menerima subsidi RM120 bagi telefon pintar.
Mengenai bayaran tambahan untuk langganan 5G, Fahmi berkata, kementerian akan berbincang dengan operator rangkaian mudah alih (MNO) untuk menangani isu tersebut.
"Perdana Menteri dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Indusri turut membangkitkan isu itu. Jadi, timbalan ketua setiausaha saya telah berbincang dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) dan MNO mengenai perkara ini dan saya percaya bahawa dalam beberapa minggu ini akan ada perkembangan,” katanya.
Fahmi berkata, kementeriannya juga sedang meneliti cadangan untuk MNO melaksanakan suatu pendekatan ‘opt-out’ atau memilih keluar daripada langganan berbanding ‘opt-in’ (memilih untuk menyertai langganan) bagi pengguna bertukar kepada 5G.
"Permintaannya ialah supaya tiada caj tambahan bagi sesiapa yang melanggan 5G. Sepertimana kita berhijrah menggunakan 4G tanpa perlu ‘opt-in’, satu daripada cadangan dalam penelitian kementerian ialah daripada ‘opt-in’, kita boleh ‘opt-out’,” katanya.
Terdahulu, Fadillah berkata, setakat bulan lepas, liputan rangkaian 5G Malaysia dalam kawasan berpenduduk ialah 70.2 peratus dengan langganan 5G berjumlah 2.49 juta, iaitu 7.4 peratus kadar penembusan. - Bernama