KUALA LUMPUR - Menyamar dengan memakai niqab selain menggunakan bayi serta kanak-kanak untuk meraih simpati orang ramai antara taktik dikesan digunakan pengemis warga asing menerusi operasi dijalankan di sekitar Bukit Bintang di sini pada Ahad.
Wanita berumur lingkungan 30-an itu turut berpura-pura pengsan sebelum cuba melarikan diri ketika dihampiri anggota Jabatan Imigresen Malaysia dalam operasi bermula kira-kira jam 6 petang itu.
Bagaimanapun, helah wanita berkenaan tidak berjaya apabila dia berjaya diberkas di lokasi operasi.
Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia Datuk Ruslin Jusoh berkata, operasi dijalankan seramai 18 anggota dan pegawai Bahagian Penguatkuasaan Ibu Pejabat Imigresen, Putrajaya.
"Selain itu, operasi sama turut menahan seorang perempuan warga Jordan, seorang kanak-kanak perempuan warga Pakistan dan seorang kanak-kanak lelaki warga Jordan, kesemua mereka berumur antara lapan bulan sehingga 78 tahun," katanya pada Jumaat.
Katanya, pelbagai taktik digunakan oleh warga asing ini ketika menjalankan kegiatan mengemis.
"Ada yang dikesan menggunakan niqab dan menyamar sebagai Muslim selain menggunakan bayi serta kanak-kanak untuk meraih simpati orang ramai.
"Terdapat juga warga asing yang berpura sakit namun apabila cuba dibantu, dia cuba melarikan diri, namun dengan tindakan pantas yang diambil, kita berjaya menahannya," katanya.
Menurutnya, tindakan diambil di bawah Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (pindaan 2002) iaitu tiada dokumen pengenalan dan tinggal lebih masa.
"Kesemua yang ditahan ditempatkan di Depot Imigresen Semenyih untuk siasatan dan tindakan lanjut.
"Semua pelawat warga asing yang berada di negara ini diingatkan mematuhi undang-undang dan peraturan sedia ada serta tidak melakukan kesalahan yang boleh menyebabkan ditahan pihak berkuasa," katanya.