Tusuk anak saudara dengan gunting, penganggur kekal dipenjara 20 tahun

Iklan
Gambar hiasan

PUTRAJAYA - Mahkamah Rayuan pada Jumaat mengesahkan hukuman penjara 20 tahun ke atas seorang penganggur kerana menyebabkan kematian anak saudaranya berusia tiga tahun yang mayatnya ditemukan dengan 56 kesan tikaman.

Panel tiga hakim terdiri daripada Datuk Vazeer Alam Mydin Meera, Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim dan Datuk S.M. Komathy Suppiah menolak rayuan Goh Jie Keat untuk mengurangkan hukuman penjara ke atasnya.

Iklan
Iklan

Vazeer yang menyampaikan keputusan mahkamah berkata, hukuman penjara 20 tahun itu tidak keterlaluan mempertimbangkan cara Jie Keat menyebabkan kematian budak perempuan berkenaan.

Beliau berkata, rayuan Jie Keat tidak mempunyai merit dan menambah hakim Mahkamah Tinggi telah mengguna pakai prinsip yang betul ketika memutuskan tempoh 20 tahun penjara itu.

Iklan

Jie Keat, 27, pada mulanya dituduh membunuh Serena Yip Pee Yee di sebuah rumah di Jalan Kuang Gunung 4, Taman Kepong di Kuala Lumpur, antara jam 7 malam hingga 8 malam pada 18 Jun, 2018.

Selepas 11 saksi pertuduhan memberi keterangan, Jie Keat menghantar representasi kepada Peguam Negara dan representasinya diterima supaya tuduhan membunuh ke atasnya dikurangkan kepada menyebabkan kematian.

Iklan

Pada 13 Julai, 2021, Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman penjara 20 tahun ke atas Jie Keat selepas beliau mengaku bersalah atas tuduhan menyebabkan kematian anak saudaranya itu.

Beliau bagaimanapun memohon kepada Mahkamah Rayuan untuk mengurangkan tempoh hukuman.

Menurut fakta kes, Jie Keat sedang memotong bungkusan plastik dengan sebilah gunting ketika anak saudaranya itu mengusiknya dan mengajaknya bermain. Jie Keat berang dengan usikan itu dan menikam kanak-kanak tersebut.

Dia berumur 21 tahun ketika melakukan kesalahan itu.

Peguam N. Subramaniyan yang mewakili Jie Keat berhujah hukuman terhadap anak guamnya patut diringankan kepada 12 hingga 15 tahun atas alasan tindakan pemuda itu bukanlah sesuatu dirancang.

Namun, Timbalan Pendakwa Raya Norzilati Izhani Zainal berkata, hukuman itu wajar dikekalkan memandangkan ia adalah kesalahan yang berat dan mangsa baru berumur tiga tahun. - Bernama