Dua maut nahas empat kenderaan

Iklan
Sebuah motosikal mangsa yang maut dan keadaan kereta Toyota Vios terlibat kemalangan di Kilometer 38 Jalan Kota Bharu-Kuala Krai, Machang.
KOTA BHARU - [DIKEMAS KINI] Pemandu kepada Mufti Kelantan antara dua individu yang maut dalam kemalangan membabitkan tiga motosikal dan sebuah kereta di Kilometer 38 Jalan Kota Bharu-Kuala Krai, Machang.

Mangsa, Nik Mohammad Ahzan Mohd Nawi, 40, meninggal dunia dalam kejadian kira-kira jam 9 malam Khamis itu manakala seorang lagi mangsa ialah kanak-kanak berusia 10 tahun, Muhammad Syawal Asyraf Muhammad Safuan.

Ketua Polis Daerah Machang, Superintenden Mohd Adli Mat Daud berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila bapa mangsa kanak-kanak menunggang keluar dari simpang Kedai Nasi Ulam Che Ku untuk menghala ke Kota Bharu.

"Bagaimanapun, Nik Mohammad Ahzan yang menunggang motosikal Yamaha Y-15 dan sebuah lagi motosikal lain jenis Honda EX-5 tiba-tiba datang dari arah Kota Bharu bertembung secara berdepan dengan motosikal mangsa.

"Akibat pertembungan itu, Nik Mohammad Ahzan yang berasal dari Machang tercampak ke laluan bertentangan sebelum dirempuh sebuah kereta Toyota Vios," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat

Mohd Adli berkata, pembonceng Yamaha LC135 berusia 10 tahun yang beralamat di Tanah Merah turut meninggal di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala manakala bapanya mengalami cedera ringan.

Tambahnya, mangsa yang maut dihantar ke Hospital Machang dan kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Iklan
Iklan

Orang ramai yang melihat kejadian diminta tampil bagi membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Khairulanwar Adamb di talian 011-10085165 atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Machang di talian 09-9751222.