IPOH - Berselindung di sebalik perniagaan kedai runcit dan eksesori telefon, namun sebenarnya menjual loteri awam tanpa lesen, 13 premis di sekitar Ipoh menerima padah apabila bekalan elektrik premis tersebut dipotong dalam Op Dadu, pagi Jumaat.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, premis di sekitar Ipoh itu juga menjual tambah nilai judi dalam talian telah digempur dalam operasi yang dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh dengan kerjasama Tenaga Nasional Berhad (TNB).
"Sepanjang dua minggu operasi dijalankan, kita telah menyerbu 23 premis di sekitar Ipoh dan pemotongan bekalan elektrik telah dilakukan setelah didapati menjalankan aktiviti haram itu.
"Daripada jumlah ini, ada premis yang pernah diserbu dua atau tiga kali namun didapati masih degil dan meneruskan kegiatan ini secara bersembunyi dan kita telah buat satu tangkapan hari ini serta membuka siasatan di bawah Seksyen 21A(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953,” katanya dalam sidang media selepas serbuan ke sebuah premis perniagaan di Taman Jati, dekat Jelapang di sini pada Jumaat.
Yahaya berkata, polis memandang serius dan tidak akan berkompromi dengan sebarang penganjuran aktiviti perjudian.
"Pemilik premis terutama bangunan kedai dinasihatkan agar lebih berhati-hati dan mengenal pasti latar belakang penyewa agar premis mereka tidak digunakan untuk aktiviti perjudian.
"Polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang menjalankan kegiatan ini dengan menjadikan premis mereka sebagai tempat menjual tambah nilai judi dalam talian," katanya. - Bernama