Bernas nafi dakwaan ada campuran beras plastik dalam produk

Iklan
Bernas memberi jaminan bahawa beras import yang dibekalkan adalah tulen dan selamat untuk kegunaan orang ramai. - Gambar hiasan.

SHAH ALAM - Syarikat Padiberas Nasional Berhad (Bernas) menafikan dakwaan terdapat campuran beras plastik di dalam produknya oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Bernas berkata, pihaknya sentiasa memastikan tahap pematuhan piawaian tinggi dan pemantauan kualiti yang ketat di setiap peringkat perolehan bekalan beras import serta tempatan.

Iklan
Iklan

"Bekalan beras dibawa masuk ke negara ini turut dibekalkan dengan sijil pengesahan kualiti dan spesifikasi beras yang dipantau rapi serta ditetapkan oleh kerajaan, ini bertujuan bagi mencegah sebarang bentuk penyelewengan tidak diingini,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Sebelum ini, tular di media sosial mengenai tuduhan kononnya terdapat campuran beras plastik dalam produk keluaran syarikat tersebut menerusi mesej berantai.

Iklan

Bernas pada masa sama memberi jaminan bahawa beras import yang dibekalkan adalah tulen dan selamat untuk kegunaan orang ramai.

Tambahnya, rakyat dinasihatkan tidak mempercayai berita palsu selain tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap sesiapa sahaja yang menyebarkan tuduhan bagi menjatuhkan reputasi Bernas.

Iklan

Katanya lagi, sekiranya terdapat sebarang pertanyaan atau mendapati wujudnya unsur-unsur yang mencurigakan ke atas produk beras Bernas, emelkan aduan rasmi di information@bernas.com.my.