KUALA LUMPUR - Kayu penyendal diletakkan dalam keadaan tidak selamat selain penggunaan tayar yang rosak antara kesalahan yang dikesan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) ketika pemeriksaan lori di sekitar ibu negara pada Rabu.
Pengarah JPJ Kuala Lumpur, Mohd Zaki Ismail berkata, Op Patuh Khas (Kenderaan Komersial) bermula jam 8 pagi itu telah mengesan pelbagai kesalahan antaranya lebih muatan, tidak tutup muatan dan tiada lesen memandu.
Menurutnya, JPJ Kuala Lumpur telah mengesan dua lori masing-masing membawa muatan bahan binaan dan pasir.
"Lori pasir itu pula dikesan tidak menyelenggara tayar dengan baik," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Beliau berkata, JPJ Kuala Lumpur telah mengenakan saman terhadap dua pemandu terbabit kerana kesalahan itu boleh mengundang kemalangan sekiranya diabaikan.
Mengulas lanjut, Mohd Zaki berkata, operasi seharian itu turut mengesan pelbagai kesalahan lain antaranya lesen kenderaan motor (LKM) tamat tempoh, tiada perlindungan insurans, nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi dan kesalahan teknikal kenderaan.
Ujarnya, tujuh lori telah disita di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.
"Pelaksanaan operasi ini antara usaha JPJ dalam meningkatkan kesedaran kepada semua pengguna jalan raya betapa pentingnya memastikan keselamatan semasa berada di jalan raya dan mematuhi undang-undang.
"Penguatkuasaan ini dilaksanakan dengan tumpuan utama kepada pemandu kenderaan perdagangan bertujuan memantau, mengesan dan mengambil tindakan terhadap kelakuan pengendali atau pemandu yang gagal mematuhi peraturan yang ditetapkan," ujarnya.