JOHOR BAHRU – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mahu menjadikan Karnival Jualan Barangan Malaysia 2023 yang dijadualkan berlangsung Disember depan sebagai platform kepada usahawan untuk mengetengahkan produk masing-masing ke pasaran yang lebih besar.
Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Perdagangan Dalam Negeri) KPDN, Datuk Roziah Abudin berkata, karnival berkenaan juga memberikan peluang kepada usahawan untuk mengadakan business matching (padanan perniagaan) bersama para pelabur dan juga pembeli (buyer) pada karnival berkenaan.
"Kita tidak menyasarkan kepada nilai jualan semata-mata pada Karnival Jualan Barangan Malaysia 2023 yang dijadualkan berlangsung Disember nanti.
"Lagi pun, kita kena tengok berapa ramai usahawan kita nak bawa...mungkin 100 hingga 200 kerana objektif kita bukan untuk tengok nilai jualan kerana karnival seperti ini biasanya hanya one-off karnival.
"Objektif kita lebih kepada 'business matching' supaya sesuatu produk tu ada investor (pelabur), ada buyer (pembeli) yang boleh bawa produk-produk itu ke pasaran yang lebih besar,” katanya kepada pemberita.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Jelajah Mini Karnival Barangan Malaysia 2023 Zon Selatan di pusat beli belah Paradigm Mall pada Jumaat.
Sementara itu, Roziah mengakui tertarik melihat pelbagai produk yang dipamerkan sempena Jelajah Mini Karnival Barangan Malaysia 2023.
Katanya, para usahawan sudah mula mempamerkan kelainan dengan tidak hanya mempamerkan produk-produk makanan semata-mata sempena karnival berkenaan.
"Ini (Johor Bahru) merupakan zon keempat kita laksanakan Jelajah Mini Karnival Barangan Malaysia dan hari ini kami tertarik bila kita dah beralih daripada barang makanan, di mana kita ada kraftangan, pakaian dan kenderaan.
"Di tempat-tempat lain kami juga ada barang yang unik yang lari daripada kebiasaan..ada pengusaha yang keluarkan makanan untuk haiwan peliharaan, makanan kucing, sabun basuh dan sebagainya.
"Produk kita banyak di luar sana, tapi tak boleh masuk ke pasaran lebih besar seperti ke hypermarket dan supermarket dan itulah yang kita adakan sekarang,” ujarnya.