KPDN kesan stesen minyak subahat jual diesel subsidi

Iklan
Anggota Penguat kuasa KPDN Perak memeriksa tangki simpanan dipercayai mengandungi minyak diesel bersubsidi dalam satu serbuan melalui Ops Tiris 2.0 di sebuah stesen minyak di Bandar Seri Botani di sini pada Khamis.

IPOH - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak berjaya mematahkan aktiviti penyelewengan dan ketirisan minyak diesel bersubsidi dalam Ops Tiris 2.0 di sebuah stesen minyak di Bandar Seri Botani di sini pada Khamis.

Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, operasi sekitar jam 9.30 malam dijalankan sepasukan pegawai dan anggota Penguat Kuasa KPDN Perak hasil maklumat risikan yang dijalankan selama dua minggu.

Iklan
Iklan

Menurutnya, tindakan tersebut dilaksanan susulan maklumat awam tentang berlakunya aktiviti pembelian minyak diesel oleh sebuah lori bertutup kanvas berkapasiti lima tan yang mengisi minyak secara berulang kali di stesen minyak yang sama.

"Pada hari kejadian, anggota perisikan telah melakukan intipan dan mendapati sebuah lori telah mengisi minyak sebanyak 11 kali dalam masa lebih kurang 1 jam di sebuah stesen minyak berjenama yang sama di Bandar Botani.

Iklan

"Pemeriksaan ke atas lori kanvas telah menemui sebanyak empat buah tangki IBC di atas lori dan turut menemui cecair yang disyaki minyak diesel di dalam tangki berkenaan yang dianggarkan sebanyak 2,500 liter," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut juga mendapati tangki asal lori kanvas tersebut telah diubah suai dengan saluran paip lain bersama pam penyedut minyak ke tangki berkenaan selain pemandu lori gagal mengemukakan sebarang Lesen Barang-Barang Kawalan Berjadual (CSA).

Iklan

Kamalludin berkata, susulan itu pihaknya menyita cecair yang disyaki minyak diesel berkenaan bersama sebuah lori kanvas berkapasiti lima tan, tangki dan pam diesel telah disita dengan nilai keseluruhan dianggarkan sebanyak RM41,375.

Jelasnya, seorang lelaki berusia 40 tahun yang merupakan pemandu lori turut ditahan untuk membantu siasatan.

"Kes akan disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 yang membawa hukuman denda sehingga RM1 juta hingga RM2 juta atau penjara tidak lebih tiga tahun jika disabitkan.

"Pihak KPDN juga percaya stesen minyak ini turut disyaki bersubahat membenarkan pembelian secara berulang-ulang kali minyak diesel kepada sindiket ini. Tindakan tidak bertanggungjawab pengusaha stesen minyak ini juga akan turut disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961," katanya.

Sementara itu, Kamalludin memberikan amaran keras dan menegaskan bahawa KPDN tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang didapati terlibat dalam sindiket dan aktiviti penyalahgunaan barang-barang kawalan ini.