JOHOR BAHRU - Seorang lelaki maut manakala seorang lagi cedera dalam kemalangan berhampiran Petronas Ulu Tiram, Jalan Besar, Taman Desa Cemerlang, Ulu Tiram di sini, pada Jumaat.
Menurut Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II, Saiful Bahari Mahpop dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Johor Jaya, pihaknya menerima panggilan mengenai kemalangan berkenaan pada jam 6.06 pagi melalui talian MERS999.
Katanya, sebaik menerima panggilan berkenaan, satu jentera Fire Rescue Vechicle (FRV), satu jentera Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS), bersama sembilan anggota bomba dari BBP Johor Jaya telah dihantar ke lokasi.
"Terdapat seorang mangsa tersepit dalam kereta Perodua Kancil tersebut dan PKO bertindak mengeluarkan mangsa dengan menggunakan peralatan khas.
"Bagaimanapun, mangsa yang berusia 58 tahun, disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang berada di lokasi,” katanya.
Mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Dalam masa sama, PKO turut bertindak memberikan rawatan awal kepada mangsa kereta Proton Wira yang berusia 26 tahun sebelum dihantar Hospital Sultan Ismail dengan menaiki jentera (EMRS).
Operasi ditamatkan pada pukul 7.22 pagi.