PENGENDALI skuad sepak takraw negara, Ahmad Jais Baharun menganggap aksi final acara regu Sukan Asia Hangzhou 2022 menentang Thailand pada Sabtu sebagai misi sukar, namun tidak mustahil.
Beliau optimis pemain negara mampu memberikan tentangan sengit kepada skuad Gajah Perang itu dan tekad menampilkan aksi terbaik untuk mempertahankan pingat emas dimenangi pada Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018.
Justeru beliau menuntut para pemain dapat terus fokus dan mempamerkan semangat juang tinggi, selain menampilkan prestasi yang lebih baik berbanding perlawanan sebelum ini.
"Saya kena realistik beberapa elemen dalam permainan kita kena jauh lebih baik berbanding sebelum ini baru kita boleh capai kejayaan.
"Aksi esok (Sabtu) akan jadi memori penting bagi skuad sepak takraw negara apabila turun menentang Thailand kerana tiada yang mustahil untuk cipta kejayaan, namun pemain perlu terjemahkan dalam gelanggang,” katanya kepada Sukan Sinar pada Jumaat.
Skuad sepak takraw negara mara ke pentas final setelah menewaskan Filipina 2-0 dalam aksi separuh akhir di Gimnasium Pusat Sukan Jinhua pada Jumaat.
Ahmad Jais mengakui aksi menentang Thailand sebagai pertemuan yang sangat mencabar kerana prestasi pasukan lawan konsisten daripada segi serangan tekong dan pertahanan yang mantap.
"Jadi dua elemen ini kita perlu perkemaskan dengan lebih baik lagi untuk beri cabaran kepada Thailand jika kita berhasrat untuk menewaskan mereka.
"Bagi saya semua pasukan inginkan kejayaan sudah tentu turun gelanggang dengan satu misi iaitu mencapai kemenangan.
"Namun paling penting daripada segi prestasi untuk capai kejayaan. Tanpa prestasi terbaik dan out standing serangan padu, pertahanan mantap kita sukar capai kejayaan,” katanya.
Dalam aksi separuh akhir itu, Malaysia mempertaruhkan trio Mohamad Syahir Rosdi sebagai tekong dengan Amirul Zazwan Amir dan Azlan Alias masing-masing bertindak sebagai apit kiri serta perejam untuk menang set pertama 21-15.
Trio Filipina yang dibarisi Ronsited Gabayeron sebagai tekong, Rheyjey Ortouste beraksi sebagai apit kiri dan Jason Huerte berperanan selaku apit kanan cuba bangkit pada set kedua, namun terpaksa akur tewas kepada Malaysia 21-11.
Edisi Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018 menyaksikan regu negara dibarisi Muhammad Zulkifli Abd Razak (tekong), Farhan Adam (pegumpan) dan Mohamad Azlan Alias (perejam) mengakhiri kemarau emas 24 tahun selepas menjinakkan Indonesia 2-1 dalam aksi final.
Sebagai rekod, regu negara sebelum ini memenangi pingat emas acara itu dua kali - Sukan Asia Beijing 1990, China dan edisi Hiroshima 1994, Jepun.