Belia mahu peluang kerja, diskaun PTPTN

Iklan
Muhammad Iman, Yusuf, Muhammad Fateh

SHAH ALAM - Mahasiswa mahu dua isu utama segera diselesaikan secara tuntas dalam Belanjawan 2024 membabitkan peluang pekerjaan dan pemberhentian diskaun pembayaran semula pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Penggerak dan Pengasas Mahasiswa Watan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Muhammad Iman Azhar berkata, kerajaan disaran menstruktur semula kemahiran pelajar dari institusi pengajian tinggi awam (IPTA) bagi memastikan kebolehpasaran pekerja tempatan dalam industri profesional.

Iklan
Iklan

Menurutnya, lepasan graduan terpaksa melupakan hasrat berbakti dalam bidang masing-masing dan memilih bekerja sendiri atau menyertai ekonomi gig selain dibebani hutang pinjaman.

"Pemerkasaan kemahiran insaniah bagi meningkatkan potensi diri supaya mereka mampu bersaing sekali gus lebih kompeten dan tidak takut dengan cabaran yang mendatang.

Iklan

"Kami berasa sedikit terkilan sekiranya kerajaan tidak lagi meneruskan insentif pemberian diskaun 20 peratus pembayaran balik pinjaman PTPTN dalam pembentangan Belanjawan 2024 dan ia memberi kesan terhadap pelajar yang baru tamatkan pengajian.

"Belanjawan 2024 perlu lebih inklusif dan terbuka terutama dalam sistem pendidikan termasuk hal ehwal kebajikan mahasiswa,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Iklan

Dalam pada itu, menurut Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Teknologi Mara (UiTM), Yusuf Hassan mencadangkan agar majikan memperuntukkan lebih 30 peratus jumlah graduan dalam semua sektor industri bagi membuka peluang pekerjaan kepada mereka.

Ujarnya, kerjasama daripada agensi kerajaan dan swasta dapat mengurangkan kebergantungan terhadap pekerja asing sekali gus meningkatkan jumlah gaji minimum yang lebih baik.

"Graduan sentiasa mengharapkan dasar yang menggalakkan penciptaan pekerjaan dan memberi peluang kepada mereka untuk memasuki pasaran kerja bagi meningkatkan kemahiran.

"Kerajaan perlu memperluaskan peluang kepada golongan mahasiswa untuk menjadi tenaga mahir dalam bidang mereka supaya pembangunan negara ini terus berkembang maju tanpa perlu bergantung sepenuhnya dengan pekerja asing,” jelasnya.

Sementara itu, Setiausaha Agung MPP Universiti Putra Malaysia (UPM), Muhammad Fateh Hazali berkata, kekurangan pendedahan dalam membina jaringan industri menyebabkan graduan terlepas peluang mendapatkan pekerjaan dalam bidang masing-masing.

Menurutnya, persaingan pasaran pekerjaan menyebabkan mahasiswa terpaksa menganggur atau bekerja dengan jumlah gaji yang kurang setimpal selain perlu menanggung hutang pinjaman pelajaran.

"Kekurangan peluang untuk menambah baik bidang baru menyebabkan kadar pengangguran meningkat ditambah dengan bebanan hutang sehingga ada yang tidak dapat melunaskan pinjaman dan akhirnya disenarai hitam,” katanya.