BANGKOK - Keluarga suspek tembakan maut di sebuah pusat beli-belah di Bangkok, membabitkan seorang remaja lelaki berusia 14 tahun, membuat permohonan maaf atas jenayah dilakukan anak mereka.
Permohonan maaf itu dibuat melalui kenyataan yang dikeluarkan kerajaan Thailand.
Kata kenyataan itu, yang diedarkan dalam bahasa Siam, Inggeris dan Cina kepada pemberita oleh Kementerian Luar Thailand, pihak keluarga suspek amat sedih dan terkejut dengan kejadian berkenaan selain mengambil tanggungjawab terhadap insiden terbabit.
Kenyataan itu ditandatangani bapa kepada pesalah juvana itu yang turut memberi jaminan untuk bekerjasama penuh terhadap siasatan polis.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Srettha Thavisin memberi jaminan akan mengambil langkah pencegahan bagi memastikan serangan senjata berprofil tinggi ketiga yang melanda negara itu dalam tempoh empat tahun ini, tidak berulang.
Remaja itu yang sudah ditahan polis, melakukan serangan tembakan di pusat beli-belah Siam Paragon Selasa lalu, yang mengorbankan dua mangsa dan lima lagi cedera.
Suspek adalah pelajar di sebuah sekolah swasta yang terletak hanya beberapa meter dari Siam Paragon, sudah menjalani ujian psikiatri sebelum boleh dibawa ke muka pengadilan.
Menurut pasukan penyiasat, suspek yang pernah menjalani rawatan untuk penyakit mental tetapi berhenti mengambil ubat-ubatan, mendakwa mendengar bisikan suara menyuruhnya menembak orang ramai.
Serangan itu dilakukan menggunakan pistol plastik yang diubah suai bagi membolehkan ia menembak dengan peluru hidup.
Susulan insiden itu, polis turut menahan tiga individu disyaki menjual pistol dan peluru kepada suspek.
Serangan di salah satu pusat beli-belah terbesar dan mewah di Bangkok dilihat sebagai tamparan baharu kepada usaha Thailand untuk membina semula industri pelancongan selepas pandemik Covid-19.
Thailand mempunyai salah satu pemilikan senjata api tertinggi di rantau ini, dengan kira-kira 10 juta senjata api dianggarkan berada dalam pasaran. - Awani