DUNGUN - Kemalangan melibatkan enam buah motosikal yang meragut nyawa tiga lelaki di Kilometer 333.1 Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) arah Kuantan, berhampiran susur keluar Plaza Tol Paka pada malam Khamis meninggalkan kesan mendalam kepada seorang bapa.
Manakan tidak, selang satu jam sebelum kejadian, Rohami Ismail, 53 sempat bercakap dengan anaknya, Allahyarham Muhammad Fitri Hanif, 18, melalui panggilan telefon, malah anak lelakinya itu berjanji akan segera pulang ke rumah selepas menikmati nasi lemak di hentian Rehat dan Rawat (R&R) Paka, di sini.
"Sebelum kejadian tu Angah (Muhammad Fitri Hanif) ada beritahu nak keluar makan nasi lemak bersama kawan-kawan sebelum bertolak dari rumah kira-kira jam 10 malam.
"Sekitar jam 11 malam tu saya rasa tidak sedap hati macam rasa berdebar dan gelisah. Saya teringatkan dia dan segera hubungi dia.
"Waktu bercakap tu dia beritahu dah siap makan dan dah nak gerak balik ke rumah," katanya ketika ditemui pemberita di Unit Forensik Hospital Dungun, di sini petang Jumaat.
Rohami berkata, selang satu jam selepas itu, dia menerima panggilan telefon daripada saudaranya yang memberitahu anak kedua dari sembilan beradik itu terlibat dalam nahas jalan raya.
"Waktu tu saya tidak tahu lah yang dia dah meninggal dunia sebab saya hanya diberitahu keadaan dia tenat.
"Bila tengok gambar keadaan dia kemalangan tu saya rasa mungkin dia dah tak ada harapan lagi," katanya yang tinggal di Bukit Kuang, Kemaman.
Menurut Rohami, dia reda dengan ujian itu dan menganggap ALLAH SWT lebih menyayangi anaknya kerana arwah merupakan seorang anak yang baik.
Kemalangan berlaku kira-kira jam 12 tengah malam itu menyebabkan tiga maut manakala tiga lagi cedera.
Nahas itu turut mengorbankan dua penunggang motosikal lain iaitu pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Binjai, Ahmad Osama Ramadhan Laidin, 17 dan seorang lagi penunggang motosikal iaitu Muhammad Shah Run Nizam Jaafar, 20 yang berasal dari Bandar Baru Seri Bandi.
Selain itu, tiga lagi penunggang motosikal terlibat ialah Muhammad Afiq Kamal,19 yang mengalami cedera parah pada bahagian kaki kanan; Muhammad Firzani Hilman Ariffadhillah, 20, cedera di bahagian belakang, kaki dan tangan sementara Muhammad Haziq Haikal Ismail,17 mengalami cedera ringan.