KUALA LUMPUR - Abang Grab dan Foodpanda ada di mana-mana dan sentiasa bersiap sedia menghulurkan bantuan dalam apa jua situasi.
Pada Jumaat, tular video di aplikasi TikTok memaparkan aksi seorang 'rider' Grab serta seorang lelaki dipercayai orang awam bertindak membersihkan longkang tersumbat selepas jalan ditakungi air.
Video berdurasi satu minit 51 saat itu dikongsikan oleh pemilik akaun TikTok, Sabarudin Ishak yang memuji sikap terpuji itu selain mengucapkan terima kasih kepada dua individu berkenaan.
Video tersebut dirakam dari sebuah bangunan pejabat yang menyaksikan air bertakung itu telah menyebabkan laluan terhalang dan tidak boleh dilalui kenderaan.
Kejadian dipercayai berlaku di Jalan Tun Razak berhampiran Menara TRX pada Jumaat susulan hujan lebat pada waktu petang yang menyebabkan beberapa kawasan di ibu kota dilanda banjir kilat.
Menerusi video berasingan pula, pemilik akaun sama turut berkongsi paparan anggota polis dibantu orang awam termasuk 'rider' Grab menolak kenderaan terkandas banjir selepas air mulai surut.
Perkongsian tersebut mendapat reaksi positif netizen yang menghargai kehadiran golongan itu yang sentiasa memberikan bantuan awal.
"Abang Grab yang tolong selesaikan masalah, ingatkan YB (Yang Berhormat) tadi. YB mana? komen seorang pengguna, Acai.
Dalam pada itu ada yang berpandangan tindakan dua individu itu harus diberikan penghargaan kerana dianggap hero kepada negara pada waktu kecemasan.
"Mereka perlu diberi penghargaan kerana sanggup meredah air untuk bantu mudahkan urusan orang lain.
Bantu orang jangan sebab tugas tapi ikhlas kerana ALLAH SWT," kata Ciklan04 di ruangan komen pada hantaran itu.
"Ramai juga yang hina maki abang Grab food dan Panda, tapi bagi aku dia juga insan yang harus dipuji dan sanjung pada masa begini," kata UserJay6765.
Pada Jumaat, media melaporkan beberapa jalan utama di ibu negara dinaiki air susulan hujan lebat selama kira-kira sejam sekitar jam 5 petang.
Jalan terjejas antaranya Jalan Chan Sow Lin, Jalan Raja Chulan, Jalan Kinabalu, Salak Expressway, Jalan Loke Yew, MRR2, Jalan Cheras, AEON Maluri, Jalan Sri Permaisuri, Yaacob Latif Tunnel dan Jalan Travers sekali gus menyebabkan gangguan lalu lintas di Kuala Lumpur.