PONTIAN - Kerajaan tidak berdepan sebarang masalah untuk membentangkan usul melantik wakil dari Sabah dan Sarawak sebagai anggota dalam Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, usul itu akan dilaksanakan menerusi Rang Undang-Undang Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (Pindaan) 2023 RUU LHDNM (Pindaan) 2023) yang akan dibentangkan dalam Mesyuarat Ketiga, Penggal Kedua, Parlimen ke-15 mulai Isnin depan.
Beliau menjelaskan perkara itu dilaksanakan sebagai menghormati dan memberi lebih kuasa kepada Sabah dan Sarawak atas semangat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTP-MA63).
"Sebelum ini, Menteri Kewangan mempunyai kuasa penuh untuk melantik siapa yang difikirkan sesuai, tetapi sekarang ini kuasa Menteri Kewangan dihadkan dengan rujukan kepada ketua Menteri Sabah dan Premier Sarawak dalam pelantikan dua ahli lembaga LHDN ini," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar pada program #Kita Madani Negeri Johor 2023 di Dataran Majlis Perbandaran Pontian dekat sini pada Sabtu.
Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Pontian itu berkata, lantikan itu wajar, supaya rakyat dapat mengetahui jumlah kutipan hasil yang diperoleh dari Sabah dan Sarawak.
"Selalu rakyat Sabah dan Sarawak ingin mengetahui jumlah pendapatan negeri mereka. Mereka mahu hasil yang diberikan dikembalikan dengan adil.
"Kalu ada wakil dari Sabah dan Sarawak, rakyat akan dapat mengetahui dengan lebih terperinci jumlah kutipan hasil dan kemudian kita boleh merancang agar hasil itu dapatkan dikembalikan untuk pembangunan negeri," katanya.
Sebelum itu, Sarawak merekodkan pendapatan tertinggi dalam sejarah untuk hasil tahun 2022 sebanyak RM11.9 bilion iaitu 17 peratus lebih tinggi daripada pendapatan yang diunjurkan RM10.2 bilion.
Kerajaan Sabah pula dilaporkan berjaya menjana hasil RM6.6 bilion dan rekod pelaburan bernilai RM33.4 bilion pada tahun 2022.