BENTONG - Sebanyak 53 peratus pengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai telah menunaikan tanggungjawab mereka setakat 1 tengah hari tadi, menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Kesemua sembilan pusat mengundi dengan 30 saluran dibuka pada 8 pagi tadi bagi membolehkan 16,383 pengundi berdaftar melaksanakan tanggungjawab memilih wakil rakyat baharu pada Sabtu.
Iklan
Iklan
Jumlah keseluruhan pengundi di DUN itu ialah 16,456 orang, dengan SPR telah mengeluarkan 73 kertas undi pos termasuk kepada 36 anggota polis dan tiga Pengundi Tidak Hadir Luar Negara.
Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Ghani Salleh semalam menjangkakan peratusan keluar mengundi hari ini mencecah 75 peratus dengan keputusan dijangka diketahui pada 9 malam ini.
PRK DUN Pelangai menyaksikan saingan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN) Datuk Amizar Abu Adam, calon Perikatan Nasional (PN) Kasim Samat dan calon Bebas Haslihelmy DM Zulhasli. - Bernama.