PRK Pelangai: Wan Rosdy hantar sendiri pengundi ke pusat pengundian

Iklan
Wan Rosdy turun padang menghantar pengundi ke pusat pembuangan undi di Sekolah Kebangsaan Felda Kemasul pada Sabtu.

BENTONG - Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail turun padang menghantar sendiri pengundi ke pusat pembuangan undi sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai pada Sabtu.

Beliau berkata, perkara itu dibuat selepas mendapat permintaan pengundi.

Iklan
Iklan

"Baru ini ada pengundi minta Tok Wan (saya) ngantor (menghantar) deme (pengundi) ke pusat mengundi.

"Hari ini, pagi-pagi lagi Tok Wan pergi rumah deme jemput naik kereta gi (pergi) ke pusat pengundian di Sekolah Kebangsaan Felda Kemasul," katanya menerusi satu hantaran di laman Facebook miliknya pada pada Sabtu.

Iklan

Wan Rosdy meminta semua pengundi DUN di Pelangai untuk turun mengundi segera kerana keadaan cuaca baik pada sebelah pagi dan kemungkinan hujan pada sebelah petang.

PRK Pelangai yang pertama selepas PRU15 di Pahang berlangsung pada Sabtu susulan kematian Datuk Johari Harun yang merupakan penyandang bagi DUN itu selepas terlibat nahas pesawat terhempas di Shah Alam, Selangor pada 17 Ogos lalu.

Iklan

PRK Pelangai menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN) Datuk Amizar Abu Adam; Kasim Samat (PN) dan calon Bebas, Haslihelmy DM Zulhasli.

Seramai 16,456 pengundi layak menunaikan tanggungjawab masing-masing dalam PRK itu termasuk 36 anggota polis dan tiga Pengundi Tidak Hadir Luar Negara.