HANGZHOU - Legenda badminton negara, Datuk Lee Chong Wei menyifatkan perseorangan lelaki utama negara Lee Zii Jia, telah mempamerkan peningkatan prestasi pada penampilannya di Sukan Asia Hangzhou 2022 kali ini.
Chong Wei selaku pengurus pasukan badminton program Road To Gold (RTG) bagi Olimpik berkata, ia satu permulaan yang baik bagi pemain berusia 25 tahun itu untuk mendapatkan semula keyakinannya, selepas mengharungi prestasi kurang memuaskan sejak awal tahun ini.
"Permainannya boleh dikatakan berubah, main lebih bersabar, tak macam dulu asyik mahu ambil mata dan menyerang. Kini dia lebih banyak main rally dan bersabar,” katanya ketika ditemui di Gimnasium Binjiang di sini.
Zii Jia, pemain di ranking ke-16 dunia memulakan cabaran Sukan Asia dengan menyingkirkan Angus Ng Ka Long dari Hong Kong, Mourinho Zefi Costa Gusmao de Jesus dari Timor Leste dan juara dunia Kunlavut Vitidsarn dari Thailand untuk mara ke suku akhir, namun tewas kepada HS Prannoy dari India.
Chong Wei yang pernah meraih lima pingat menerusi acara perseorangan dan berpasukan lelaki di Sukan Asia berkata, bagi seorang lagi perseorangan lelaki negara Ng Tze Yong, kelemahan paling ketara adalah dari segi kekuatan, ketika tewas kepada Kodai Naraoka dari Jepun.
Mengulas mengenai beregu lelaki Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang tewas kepada wakil India Satwiksairaj Rankireddy-Shirag Chetty pada aksi separuh akhir malam tadi, beliau berkata ia berpunca daripada taktik dan kekuatan.
Beliau berkata, setiap pertandingan ada pemain yang menang dan kalah, namun apa yang penting adalah mengetahui sebab untuk kalah dan memperbaikinya untuk menghadapi cabaran seterusnya.
Ditanya sekiranya atlet yang tidak menunjukkan prestasi baik pada Sukan Asia digugurkan daripada RTG, Chong Wei berkata, perkara itu hanya akan dibincangkan pada mesyuarat jawatankuasa berkenaan pada 12 Oktober nanti.
"Buat masa ini tiada apa-apa keputusan, kita akan bincang semua prestasi pada mesyuarat tersebut. Kita harap peminat tidak putus asa terhadap pasukan badminton, teruskan menyokong pasukan kita.
"Saya dalam RTG, boleh bantu dari segi perkhidmatan. Selepas empat kali beraksi di Olimpik, saya boleh kongsi pengalaman itu kepada semua atlet untuk bersedia ke Olimpik tahun depan,” katanya.
Pingat gangsa Aaron-Wooi Yik menjadi penyelamat kem badminton negara, selepas pulang dengan tangan kosong pada edisi 2018 di Jakarta-Palembang, Indonesia. - Bernama