PRK Pelangai: 'Ayah hantar, adik-beradik bantu pimpin masuk saluran'

Iklan
Zaffarul (kanan) bersama bapanya, Harmeni (kiri) hadir ke Pusat Mengundi SMK Seri Pelangai hari ini. - Foto Astro AWANI

BENTONG - Hilang penglihatan sejak 24 tahun lalu tidak sedikit pun mematahkan semangat Zaffarul Nazri Harmeni untuk turut sama menjalankan tanggungjawab sebagai pengundi termasuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai.

Menurut lelaki berusia 49 tahun itu, kebiasaan bapanya, Harmeni Moner, 70, akan menghantar ke Pusat Mengundi selepas dia tidak lagi mampu melihat akibat terlibat dalam kemalangan di tempat kerja sekitar tahun 1999.

Iklan
Iklan

Berkongsi kepada Astro AWANI, bapa kepada seorang cahaya mata itu berkata, selain bapanya, dia bertuah kerana seluruh ahli keluarganya sentiasa membantunya setiap kali tiba musim pilihan raya.

"Insya-ALLAH kita tidak nampak ini tiada masalah sebab macam saya tadi, ayah saya yang bawa mengundi... lepas itu kena isi Borang 10 (Borang Akuan Mengenai Identiti).

Iklan

"Jadi yang tolong pangkah itu ayah saya, dan semangat untuk mengundi itu sebagai warganegara Malaysia, ia adalah wajib walaupun OKU (Orang Kurang Upaya).

"Biasanya ayah saya (hantar) dan dipimpin oleh adik-beradik saya (ke saluran). Mereka menemani saya dan memimpin saya," katanya ketika ditemui di Pusat Mengundi di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Pelangai, di sini pada Sabtu.

Iklan
Zaffarul bersama-sama ahli keluarga turut menjalankan tanggungjawab sebagai pengundi dalam PRK Pelangai yang berlangsung hari ini. - Foto Astro AWANI

Jelas Zaffarul, yang ketika ini seorang penganggur, proses pengundian berjalan lancar dan selesai dalam tempoh 10 minit.

Walaupun berstatus OKU, ujarnya kemudahan yang disediakan di Pusat Mengundi tidak menyukarkan dia untuk memilih wakil rakyat baharu.

Sementara itu, bercerita mengenai keadaan dirinya yang berstatus OKU, Zaffarul berkata, dia kehilangan penglihatan pada usia 24 tahun kerana terkena cecair gas ammonia yang meletup di tempat kerjanya di sebuah kilang.

"Lama juga (selepas insiden) itu sebab saya menjalani beberapa proses rawatan untuk beberapa tahun termasuk kita dah pergi rawatan ke Singapura, ganti kornea mata dan menggunakan teknologi baharu.

"Tetapi beberapa kali melakukan pembedahan, begini lah suratannya (akur hilang penglihatan)," ujarnya lagi.

Dalam masa yang sama, Zaffarul berharap calon yang akan diberikan mandat kelak, boleh membawa perubahan di kawasan tersebut dan menunaikan segala manifesto yang dijanjikan.

PRK Pelangai menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN) Datuk Amizar Abu Adam; calon Perikatan Nasional (PN), Kasim Samat dan calon Bebas, Haslihelmy DM Zulhasli.

Ia diadakan susulan kekosongan luar jangka kerusi DUN itu selepas penyandangnya, Datuk Seri Johari Harun meninggal dunia dalam nahas pesawat terhempas di Elmina, Shah Alam pada 17 Ogos lalu. - Awani