Bot karam, pemancing terapung tiga jam sebelum diselamatkan

Iklan
Lima pemancing dari Indonesia diselamatkan selepas bot dinaiki karam di perairan Tanjung Balai, Karimun.

PONTIAN - Lima pemancing warga Indonesia berdepan detik cemas apabila terapung selama tiga jam selepas bot dinaiki mereka karam di perairan Tanjung Balai, Karimun sebelum hanyut memasuki perairan negara, tengah malam Jumaat.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia ) Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, bot kayu dinaiki pemancing berusia 21 hingga 48 tahun itu dipercayai dipukul ombak besar sebelum pecah dan karam.

Iklan
Iklan

Jelasnya, mereka dipercayai keluar memancing di Beting 9 sekitar perairan Tanjung Balai Karimun, Indonesia pada jam 11 malam Khamis.

Lima pemancing berdepan detik cemas selepas bot dinaiki karam di perairan Tanjung Balai, Karimun.

"Bagaimanapun, pada jam 12.30 malam, bot kayu dinaiki mereka dipukul ombak besar dan karam. Mereka sempat berpaut pada tong minyak dan hanyut selama tiga jam sehingga memasuki perairan Malaysia.

Iklan

"Sebuah kapal dagang berhampiran telah menemui kesemua mangsa dan memberikan bantuan.

"Pihak Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Johor Bahru telah mengarahkan bot ronda Maritim Malaysia ke lokasi bagi mengambil semua mangsa untuk dibawa ke Ibu Pejabat Maritim Negeri Johor," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Nurul Hizam (kiri) menyerahkan lima pemancing warga Indonesia yang diselamatkan selepas bot karam kepada Konsulat Jenderal Republik Indonesia Johor Bahru pada Sabtu.

Iklan

Menurut Nurul Hizam, kesemua mangsa berada dalam keadaan stabil.

"Mereka telah selesai diambil keterangan bagi proses dokumentasi sebelum diserahkan kepada pihak Konsulat Jenderal Republik Indonesia Johor Bahru pada jam 2.30 petang Sabtu," katanya.