Pelaksanaan NETR tidak rugikan TNB - Rafizi

Iklan
Rafizi

SHAH ALAM - Pelaksanaan Pelan Peralihan Tenaga Boleh Baharu (NETR) tidak akan menjejaskan perolehan keuntungan Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, jika dilihat prestasi saham TNB dua bulan sebelum NETR dilancarkan bermula Mei hingga Julai terus meningkat.

Iklan
Iklan

Menurutnya, dari segi pengumuman NETR itu antara yang paling mendapat keuntungan adalah TNB.

"Malah NETR itu dilancarkan dalam dua fasa. Fasa pertama saya yang lancarkan, fasa kedua Perdana Menteri yang lancarkan dengan TNB menjadi tuan rumah

Iklan

"Sebabnya TNB tahu bahawa peralihan tenaga ini adalah salah satu anjakan sangat penting bukan sahaja kepada negara, tapi laba itu TNB yang akan dapat,” katanya menerusi akaun Facebook pada Sabtu.

Beliau berkata demikian ketika mengulas dakwaan NETR hanya akan menguntungkan syarikat solar luar negara berbanding TNB.

Iklan

Tambah Rafizi, sebelum NETR dilaksana, pelabur antarabangsa dan pengurus dana yang menentukan saham mana yang hendak dibeli dan mereka berasakan kaunter-kaunter di Malaysia termasuklah TNB perlu melakukan sesuatu dengan lebih bersungguh-sungguh untuk meningkatkan pematuhan kepada perubahan iklim.

"Kemudian pada masa yang sama kerajaan juga menunjukkan cara dan kaedah yang akan dilaksanakan, itu menimbulkan keyakinan dalam kalangan dana-dana pelaburan antarabangsa.

"Sebab itu kita tengok kaunter TNB mendapat untung, selain daripada kaunter-kaunter lain yang di dalam solar," katanya.

Rafizi turut menegaskan bahawa Malaysia adalah antara pengeluar panel solar terbesar di dunia.

"Jadi bila kita tingkatkan lagi sasaran tenaga boleh baharu maksudnya kita boleh menskalakan industri panel solar.

"Ini akan memberi laba bukan sahaja kepada TNB, tetapi industri lain termasuklah membuka peluang pekerjaan baharu kepada anak-anak Malaysia dalam bidang yang sebelum ini tidak ada termasuklah panel solar, pemasangan solar dan sebagainya," katanya.

Rafizi berkata, rancangan kerajaan melalui NETR ini mendapat sambutan baik dan kalau ia sesuatu membawa kerosakan kepada TNB, tidak mungkin TNB bersungguh-sungguh dengan kerajaan menggerakkan NETR.

"TNB juga tahu bahawa ini adalah penting untuk pertumbuhan dan kemampanan TNB pada masa akan datang sebagai sebuah syarikat utiliti,” katanya.