KEMENTERIAN Pembangunan Usahawan dan Koperasi melalui agensinya, Perbadanan Nasional Berhad (Pernas) menyasarkan potensi pembiayaan di Pulau Pinang pada tahun ini bernilai RM6 juta.
Pernas dalam satu kenyataan berkata, sehingga kini sejumlah RM13.9 juta telah disalurkan kepada usahawan Pulau Pinang melibatkan sebanyak 96 jenama francais dan pra-francais negeri itu telah dibangunkan dengan bantuan agensi itu.
"Program BizFrancais Pulau Pinang merupakan kerjasama di antara Pernas dengan kerajaan Pulau Pinang yang merupakan lokasi keempat siri jelajah program berkenaan pada tahun 2023.
"Program BizFrancais telah diperkenalkan sejak tahun 2019 dan Pernas telah menganjurkan 18 siri program BizFrancais pada tahun ini di enam lokasi iaitu Pulau Pinang, Perak, Pahang, Johor, Sabah dan Sarawak,” jelas kenyataan itu.
Kenyataan itu turut memaklumkan, sejak program BizFrancais diperkenalkan, Pernas telah meluluskan pembiayaan sebanyak RM14.94 juta.
Pada Sabtu, Pernas telah mengadakan Program BizFrancais Pulau Pinang 2023 yang dirasmikan oleh Exco Perdagangan, Pembangunan Usahawan dan Luar Bandar Pulau Pinang, Roshidi Zinol.
Turut hadir Pengerusi Pernas, Datuk Hazimah Zainuddin dan Pengerusi Jawatankuasa Eksekutif Pernas, Datuk Abu Bakar As-Sidek Mohd Sidek.
Dalam pada itu, Roshidi berkata, program BizFrancais adalah satu platfom untuk memberi pendedahan serta kesedaran kepada orang ramai mengenai perniagaan francais serta mempromosi Pernas sebagai sebuah agensi kerajaan yang diberi mandat untuk meningkatkan industri francais negara.
Beliau berkata, program tersebut adalah selaras dengan usaha kerajaan negeri Pulau Pinang untuk meningkatkan penglibatan penduduk dalam bidang keusahawanan dan perniagaan, memperkasakan kapasiti serta keupayaan usahawan tempatan.
"Saya percaya lebih banyak perniagaan francais dapat dibangunkan di negeri Pulau Pinang. Saya juga mahu melihat perniagaan pra-francais yang berpotensi di negeri ini dapat dikenalpasti serta dimajukan dan sekali gus dapat membantu membangunkan pertumbuhan ekonomi di Pulau Pinang,” katanya.
Sementara itu, Hazimah berkata, Pernas turut memperhebat usaha melahirkan usahawan francais melalui Projek Be Your Own Boss (BYOB) yang menyasarkan golongan wanita melalui Program Successful Women Entrepreneurship Engagement Talents (SWEET) dan Young Entrepreneurship Engagement Talents (YOUNITY) untuk golongan belia.
"Sebagai usaha melebarkan sayap jenama francais ke antarabangsa, Pernas giat menjalinkan hubungan kerjasama dengan negara-negara luar bagi membuka peluang kepada jenama tempatan ke pasaran antarabangsa,” katanya.