GEORGE TOWN - Anggota mahu pun pegawai polis diberi amaran keras sekiranya masih terlibat dan bersekongkol dengan sindiket jenayah.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, ada yang sanggup menjual nyawa rakan untuk duit imbuhan daripada sindiket.
Menurutnya, dalam erti kata lain dalam pasukan ini (polis) kelak ada yang 'membunuh' antara satu sama lain disebabkan duit.
"Sebab apa, tak ada penyeliaan di bawah untuk menjaga, tengok budak-budak ini macam mana, tengok cara hidup dia, tiada.
"Sebab itu ada anggota, pegawai di bawah penyeliaan tuan puan buat benda merapu-merapu sebab apa? Bos (pegawai atasan) tidak ambil port, bukan tidak ambil port sahaja, tapi bos pun sama," katanya ketika dipetik menerusi rakaman video di Facebook rasmi Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) pada Sabtu.
Ucapan amanat Mohd Shuhaily itu dihadiri oleh Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (KJSJ) Kontinjen, Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (KBSJD) seluruh Malaysia bertempat di Kompleks Cahaya, Universiti Sains Malaysia pada Jumaat.
Mengulas lanjut, beliau berkata, terdapat pegawai dan anggotanya keluar bersama membeli kereta.
"Pergi beli kereta dua-dua, kau ambil nombor ini, aku ambik nombor ini. Pergi dengan sarjan. Ada tak berlaku? Sebab ini memang berlaku dalam pasukan," tegasnya.
Tambah beliau, sesiapa di antara 130 orang Ketua Bahagian Siasatan Jenayah (KBSJ) di sini masih gagal mengikut apa jua arahan, mereka berdepan dengan pertukaran dan tiada kenaikan pangkat.
"Kamu bukan sahaja aku akan tukarkan keluar, aku akan 'put a note there, not recommended for any hire rank'. Sebab engkau tidak layak diberikan tanggungjawab untuk menyelia orang lain dengan pangkat lebih tinggi," katanya.
Tegasnya lagi, ada pegawai yang membuat keputusan tidak betul dan tidak berani membuat keputusan.
"Hendak bagi arahan tidak berani, PR pandai! Ini satu lagi sebab, PR!," katanya.
Katanya lagi, diharap untuk semua pegawai dan anggota jabatannya daripada peringkat Bukit Aman sehinggalah balai polis untuk terus bekerja dengan cara dan jalan yang betul selain menghentikan budaya 'berkawan' dengan sindiket.