ALOR SETAR - Pejabat Kesihatan Daerah Kota Setar telah mengenalpasti premis yang menyumbangkan nasi Arab dan menjadi punca kepada lebih 30 pelajar Institut Al-Quran Darul Aman (IQDAR) mengalami keracunan makanan pagi tadi.
Pengarah Kesihatan Negeri Kedah, Datuk Dr Norhizan Ismail berkata, premis makanan tersebut telah diberikan arahan penutupan selama 14 hari di bawah Seksyen 11 Akta Makanan untuk pembersihan dan siasatan lanjut.
Menurutnya, hasil siasatan mendapati makanan disyaki adalah lebihan nasi dan lauk ayam yang tidak habis dijual dan dihantar kepada institusi ini kepada pelajar pada jam 11 malam sebelum dimakan oleh pelajar pada jam 12 malam.
"Siasatan awal juga mendapati punca keracunan kemungkinan disebabkan oleh lauk ayam yang tidak dimasak dengan sempurna.
"Jumlah pelajar terdedah adalah seramai 150 orang dan yang mendapatkan rawatan adalah seramai 31 orang berumur antara 18 hingga 23 tahun. Mereka terdiri dari 15 pelajar perempuan dan 16 pelajar lelaki dan mereka semua telah dirawat sebagai pesakit luar," katanya dalam satu kenyataan.
Dr Norhizan berkata, pendidikan kesihatan telah diberikan kepada pelajar- pelajar yang terlibat dengan keracunan makanan tersebut.
Jelasnya, pihak pengurusan diberikan nasihat agar memastikan keselamatan makanan yang diterima untuk pelajar.
"Pilihlah makanan yang segar dan panas serta mengamalkan konsep ‘lihat, hidu dan rasa’ sebelum makan untuk mengelakkan memakan makanan yang telah rosak," katanya lagi.
Tambahnya, orang ramai disarankan sentiasa mengamalkan keselamatan makanan dengan memilih premis makanan yang bersih untuk membeli makanan dan mengamalkan kebersihan diri dengan membasuh tangan sebelum menyediakan makanan dan selepas menggunakan tandas.