SHAH ALAM - Keceluparan Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor didakwa antara punca penolakan pengundi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai terhadap gabungan tersebut.
Timbalan Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Razeef Rakimin berkata, sejak awal kempen lagi, maklum balas rakyat DUN Pelangai dilihat kurang senang terhadap kenyataan angkuh dan biadab yang dikeluarkan oleh Menteri Besar Kedah itu.
"Pada pandangan saya, PN akan terus bermasalah jika terus menggunakan orang biadab seperti Muhammad Sanusi sebagai ikon mereka.
"Namun penolakan jelas mula dilihat selepas Muhammad Sanusi mengeluarkan kenyataan biadab terhadap Perdana Menteri yang menyampaikan khutbah Jumaat di New York, Amerika Syarikat (AS).
"Kenyataan berkenaan juga dilihat seolah cuba memperbodohkan penduduk DUN Pelangai dan sebagai tindak balas, penyokong PN sendiri memboikot ceramah mega gabungan tersebut yang dianjurkan di Dataran Purnama lima hari lalu dan selepas itu ceramah PN mula kelihatan hambar,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Dalam pada itu, ujar Razeef, tindakan Muhammad Sanusi yang mempergunakan isu agama dan kaum bagi meraih sokongan juga jelas kurang disenangi oleh rakyat.
Jelasnya, Pengerusi PN Kedah itu juga beberapa kali dilihat menggunakan perkataan lucah dalam membuat lawak di ceramah umum.
"Tindakan pimpinan kerajaan yang tidak melayan kenyataan-kenyataan Muhammad Sanusi memperlihatkan kematangan dan satu langkah tepat.
"Tindakan ini sekali gus menimbulkan kegusaran pimpinan Perikatan Nasional kerana tidak ada seorang pun pimpinan Pakatan Harapan dan Barisan Nasional berjaya ditarik ke dalam perangkap 'badut' mereka,” jelasnya.