KANGAR - Saban tahun Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) menganjurkan Program Iftar Kubra bagi berkongsi juadah berbuka puasa dan sumbangan dengan masyarakat sekitar negeri.
Namun, dalam kesibukan mahasiswa UniMAP bertungkus lumus menghidangkan juadah iftar, kelihatan beberapa mahasiswa bukan Islam turut serta membantu membentangkan tikar dan menghidangkan makanan sempena Program Iftar Kubra UniMAP 2019 di Dewan Ilmu, Kampus UniMAP di sini semalam.
Mahasiswa berkenaan Koay Shuni, 22, berkata, dia teruja membantu rakan-rakan Islam membuat persiapan bagi berbuka puasa beramai-ramai.
Menurutnya, ini adalah pengalaman pertama kalinya bersama-sama menyediakan juadah berbuka memandangkan komuniti tempat tinggalnya tidak ramai masyarakat Islam.
"Ia sesuatu pengalaman baharu buat saya dan rakan, Rachel Ooi Qian Yi walaupun kami berbeza agama dan bangsa," katanya yang juga Bendahari Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UniMAP.
Program Iftar Kubra anjuran Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (JHEPA) UniMAP itu turut dihadiri Naib Canselor UniMAP, Datuk Prof Dr Zul Azhar Zahid Jamal, Timbalan Yang Dipertua Kompleks Penyayang Siti Hasmah, Dato Abdul Azib Saad serta pengurusan tertinggi UniMAP.
Terdahulu, Zul Azhar dalam ucapannya berkata, sempena program itu UniMAP turut menyampaikan sumbangan kepada 30 pelajar tahfiz dari Pusat Tahfiz Darul Hikmah, anak-anak yatim Kompleks Penyayang Dr Siti Hasmah dan penghuni Rumah Baitu Hanan.
Katanya, dua mahasiswa UniMAP iaitu Muhammad Iqbal Shah Zakaria (dari PPK Pembuatan) yang kuat dan tabah dalam menjaga adiknya pesakit kanser serta Nur Hidayah Kamal (dari PPK Mekatronik) yang berjiwa besar dalam menjaga tiga orang adik beradiknya setelah pemergian kedua orang tuanya turut menerima sumbangan.
"Seperti kelaziman tahun lepas pada tahun ini pihak universiti juga menyalurkan sejumlah RM55,000 kepada pelajar asnaf dari setiap Pusat Pengajian UniMAP yang terdiri daripada 550 orang penerima," katanya.
Sementara itu, Muhamad Iqbal Shah berkata, sumbangan yang diterima akan dimanfaatkan sebaiknya bagi menampung keperluan dan adiknya yang menghidap kanser.
"Saya tidak akan jemu memberi sokongan kepada adik melawan kanser agar dia tetap gembira seperti orang lain bagi menyambut lebaran yang akan tiba tidak lama lagi.
"Terima kasih kepada UniMAP yang tidak putus menghulurkan bantuan kepada kami berdua di samping memastikan pengajian saya tidak terjejas kerana bebanan kewangan," katanya yang juga anak yatim piatu.