SHAH ALAM - Situasi jerebu yang semakin memburuk beberapa negeri di Malaysia sememangnya berpunca daripada asap tebal ekoran kebakaran hutan besar-besaran di Indonesia berdasarkan bukti titik-titik panas, rakaman pergerakan udara dan angin.
Pakar Kesihatan Persekitaran Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Dr Haliza Abdul Rahman berkata, penafian yang dibuat negara jiran itu ditolak kerana secara jelasnya terdapat pembuktian melalui pergerakan angin membawa asap dari Sumatera ke Semenanjung, manakala Kalimantan ke Sabah dan Sarawak.
"Ia sering berlaku disebabkan pembakaran hutan terutamanya di Sumatera antara Oktober hingga Disember setiap tahun, tetapi kenapa masa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi semua negara sewaktu pandemik Covid-19, tidak ada isu jerebu? Ini satu lagi bukti yang jelas.
"Sekarang kita beralih ke Monsun Timur Laut bermula November hingga Mac. Jadi, mungkin isu ini akan berkurang kerana faktor hujan dan lembab yang akan meminimumkan pengaruh jerebu,” katanya kepada Sinar Ahad.
Berdasarkan laporan Sinar Harian pada Sabtu, Indonesia sekali lagi menafikan jerebu berbahaya akibat pembakaran hutan di beberapa wilayah di republik itu telah tersebar hingga ke Malaysia.
Menteri Alam Sekitar Indonesia, Siti Nurbaya Bakar berkata, tiada jerebu dari negaranya dikesan menuju ke Malaysia dan kebakaran hutan semakin berkurangan di pulau Sumatera serta Kalimantan.
Menurut Haliza, faktor dalaman tidak boleh ditolak yang turut menjadi penyumbang kepada Indeks Pencemaran Udara (IPU) tinggi dalam negara.
"Sekiranya ia punca semula jadi kerana letupan gunung berapi, itu sudah di luar kawalan tetapi jika aktiviti manusia tidak dikawal seperti pembakaran terbuka, pembebasan asap kilang, kenderaan dan sebagainya akan menyebabkan keadaan bertambah serius.
"Komponen alam sekitar iaitu udara tidak mempunyai sempadan dan boleh bergerak ke negara lain tidak seperti situasi pencemaran sungai yang mempunyai had dalam negara,” ujar beliau.