Mana mau lari...

Iklan
Kesemua penunggang dan pembonceng itu kemudiannya diarah menunggang motosikal sehingga empat kilometer sambil diiringi kereta peronda polis ke IPD Timur Laut untuk tindakan lanjut.

GEORGE TOWN - Meskipun telah banyak kematian dilaporkan berlaku akibat aktiviti lumba haram namun ia seolah-olah tidak memberi pengajaran kepada kumpulan mat rempit di negeri ini.

Tindakan mereka yang beradu kelajuan, menunggang motosikal secara berbahaya malah ada menjadi penonton menyaksikan aktiviti lumba haram di kawasan E-Gate, Lebuh Tunku Kudin, Gelugor di sini, pada awal pagi Sabtu mengundang padah apabila berjaya diberkas polis dalam Ops Samseng Jalanan.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, operasi dilakukan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut bermula jam 1 pagi itu berjaya menahan seramai 180 lelaki dan 20 wanita.

Menurutnya, kesemua mereka tidak dapat meloloskan diri berikutan lokasi yang popular buat kumpulan mat rempit itu terlebih dahulu dikepung oleh pasukan serbuan.

Iklan

"Operasi yang dilakukan dengan kerjasama Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang itu hasil daripada risikan yang dibuat dan kita dapati mereka memasuki ke arah E-Gate untuk berlumba sebelum kawasan berkenaan dikepung pada jam 3 pagi.

"Selepas menyedari kawasan itu telah diserbu polis ada antara mereka yang bertindak melarikan diri di kawasan ruang parkir pasar raya dan bangunan berhampiran namun semuanya sia-sia selepas mereka berjaya ditahan oleh anggota serbuan," katanya ketika ditemui di lokasi serbuan.

Operasi dilakukan JSPT IPD Timur Laut itu berjaya menahan seramai 180 lelaki dan 20 wanita.

Iklan

Soffian berkata, hasil pemeriksaan dibuat pihaknya telah mengeluarkan sebanyak 100 saman atas pelbagai kesalahan trafik iaitu tiada cermin sisi, ekzos bising, nombor plat fancy dan tayar tidak mengikut spesifikasi.

Katanya, kesalahan lain yang dikesan adalah tiada lesen memandu, cukai jalan dan insurans tamat tempoh.

"Dalam operasi tersebut, polis turut menyita 20 buah motosikal melibatkan modifikasi yang keterlaluan.

"Kesemua penunggang dan pembonceng itu kemudiannya diarah menunggang motosikal sehingga empat kilometer sambil diiringi kereta peronda polis ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut untuk tindakan lanjut," katanya lagi.