GAZA - Palestinian Journalists Syndicate (PJS) menggesa Palang Merah Antarabangsa dan pertubuhan antarabangsa campur tangan dan membantu memastikan nasib dua wartawan Palestin, Nidal Al-Wahidi dan Haitham Abdelwahid, yang hilang semasa membuat liputan tentang serangan Israel ke atas Gaza.
Menurut agensi berita Palestin (WAFA), kesatuan itu dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Sabtu melahirkan kebimbangan mendalam terhadap kehilangan mengejut Al-Wahidi dan Abdelwahid semasa liputan mereka mengenai perkembangan serangan itu berhampiran pusat pemeriksaan tentera Beit Hanoun di utara Semenanjung Gaza.
Iklan
Iklan
Komunikasi dengan kedua-dua wartawan itu telah terputus, membawa kepada kebimbangan yang serius terhadap keselamatan dan kesejahteraan mereka, tambahnya.
Kesatuan itu menggesa masyarakat antarabangsa dan pertubuhan kemanusiaan mengambil tindakan segera bagi memastikan keselamatan wartawan yang hilang, menekankan kepentingan melindungi wartawan dan memastikan keselamatan mereka ketika mereka menjalankan tugas penting dalam memberikan maklumat kepada orang ramai.
Serangan berterusan Israel sejak awal Sabtu, mengakibatkan sejumlah besar kematian, kecederaan, dan kerosakan besar pada bangunan, rumah dan infrastruktur di seluruh Semenanjung Gaza. - Bernama